Lukisan mural cantikkan bandar Teluk Intan

Lukisan mural cantikkan bandar Teluk Intan

PELANCONG bergambar di salah satu lorong yang mempunyai lukisan mural di Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini mungkin antara paling awal membuat persiapan sempena Tahun Melawat Perak 2024 apabila mengindahkan bandar ini dengan mewujudkan lukisan pada dinding bangunan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, semakin banyak lorong di bandar ini yang diperindah dengan lukisan mural bertemakan lokasi dan sejarah daerah ini antaranya gambar Menara Condong, peristiwa kereta api melanggar gajah dan pulau burung.

Lukisan mural itu menarik pelancong dan setiap yang melihatnya pasti mahu merakamkan gambar di situ, termasuk pelancong asing dari Australia, Kamel, 61, dan isterinya Jenny, 57 yang pernah menjejakkan kaki di bandar ini berpuluh tahun lalu ketika melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka mengakui sudah banyak perubahan dialami bandar ini dan tertarik dengan suasana berwarna-warni di bandar ini dengan lukisan mural.

“Ketika itu tak banyak yang menarik di bandar ini, namun suasananya sudah jauh berubah sekarang. Bandarnya semakin besar, cantik dan bangunannya sudah banyak.

“Ketika berjalan-jalan, kami ternampak lukisan mural di lorong belakang bangunan lama. Lukisannya menarik, menggambarkan sejarah kawasan ini. Saya percaya lorong ini dahulunya tidak secantik sekarang, apa yang dibuat ini begitu menarik,” katanya.

Sementara itu, Yushanis Abdul Wahab, 48, berkata, menerusi lukisan pulau bangau, Menara Condong, gambar kereta api melanggar gajah dan lain-lain yang dilukis pada mural, orang luar dapat mengenali sejarah daerah ini.

“Menerusi lukisan ini, pengunjung pastinya mendapat tahu apa sejarah besar yang berlaku di sini seperti peristiwa kereta api melanggar gajah.

“Begitu juga lukisan pulau burung. Pelancong mendapat tahu di sini ada pulau yang menjadi tempat singgah pelbagai jenis burung,” katanya.

M. Dewi, 47, pula berkata, selain Menara Condong, lukisan mural dapat menambah tarikan pelancong ke bandar ini.

“Jika orang tanya apa yang menarik tentang bandar Teluk Intan, selain Menara Condong, keindahan Sungai Perak, sekarang ada lukisan mural yang cantik untuk dikunjungi,” katanya.

Lee Siang Liaw, 39, pula mencadangkan penghadang besi dibina di lorong yang mempunyai lukisan mural supaya tidak dilalui kenderaan.

“Ini juga bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang mengambil gambar di lorong lukisan mural ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×