BAGAN SERAI: Tumbuhan air dikenali keladi agas menjadi ancaman kepada pesawah di sini, apabila tumbuhan itu membiak dengan cepat sehingga ke petak sawah.
Pesawah berkata, sejak dua musim penanaman lalu, keladi agas sudah dikesan tumbuh di kawasan saliran, namun ketika itu tidak terlalu banyak.
Menurut pesawah, pada musim penanaman kali ini, tumbuhan itu membiak hingga ke kawasan padi.
Pesawah, Mohd. Saufe Anoh, 45, berkata, keadaan itu menyebabkan pembesaran padi terjejas malah ada yang mati akibat tumbuhan berkenaan.
Katanya, kawasan yang terjejas akibat masalah itu ialah di Kompartmen E iaitu di Alor Pongsu yang melibatkan berpuluh-puluh petak sawah yang dipenuhi tumbuhan tersebut.
“Saya menyembur racun ketika saiznya kecil namun tumbuhan ini sepertinya kebal. Selepas sehari diracun, daun keladi agas ini akan layu, namun beberapa hari selepas itu ia tumbuh dengan daun baharu dan ini menunjukkan racun yang selama ini digunakan tidak mampu untuk memusnahkan tumbuhan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Mohd. Saufe, dia percaya antara punca utama menyebabkan keladi agas memenuhi kawasan tanaman padi di Parit Haji Ali disebabkan sistem perparitan yang tidak diselenggarakan dengan baik oleh pihak berkaitan.
Menurutnya, terdapat dua jenis parit saliran air di sini iaitu parit air masuk ke kawasan tanah padi manakala satu lagi untuk pengaliran air yang dibuang dari petak sawah.
“Yang ditumbuhi keladi agas ialah di parit pembuangan air dan ini menyebabkan aliran air keluar dari petak sawah tidak berjalan dengan lancar,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Arpain Senusi, 57, berkata, apabila sistem pengairan tidak diselenggara, tumbuh pelbagai jenis tumbuhan liar yang mengancam tumbesaran padi.
“Pada musim penanaman kali ini, keladi agas memenuhi petak sawah menyebabkan anak padi dan pokok padi yang dalam proses pembesaran tenggelam serta mati.
“Apa yang membimbangkan, tumbuhan ini semakin membesar sehingga paras pinggang orang dewasa, mungkin disebabkan baja yang ditabur di dalam petak sawah.
“Akhirnya, padi tak dapat baja, keladi agas pula yang tumbuh subur,” katanya. – UTUSAN











