BERTAHAN kerana anak. Itulah pengakuan seorang wanita yang bersuamikan narsistik, panas baran dan kaki pukul selama 21 tahun.
Natrah bukan nama sebenar,44, menjadi mangsa penderaan mental dan dimanipulasi oleh suami sejak awal perkahwinan pada 1999.
Pada 2010, bermulalah episod dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga atas sebab cuba pertahankan diri dengan segala tohmahan fitnah malah dipukul atas sebab remeh.
Kongsi ibu enam anak itu kepada Seri, kepalanya dipukul ketika dia sedang memandu kereta untuk ke hospital gara-gara hal remeh iaitu air botol tertumpah.
“Mental dan fizikal saya jadi teruk. Bekas suami turut memaksa untuk berhubungan kelamin setiap hari dengna saya. Malah kalau tidak dilayan, dia mengugut untuk mencari skandal.
“Dia juga akan mengamuk malam-malam untuk buat bising sewaktu anak-anak tidur. Saya sedih diperlakukan sebegitu kerana saya juga manusia, isteri dan seorang ibu, tapi terlalu menjadi terbaik untuk suami dan anak-anak hingga lupa sayang diri sendiri,” katanya.
Setelah 21 tahun menjadi punching bag suami, barulah Natrah mempunyai kekuatan untuk menghubungi Talian Kasih 15999 dan mereka meminta untuk membuat laporan polis serta mendapatkan sesi kaunseling untuknya.
“Masa itu tiada siapa yang bantu, saya diam-diam mengikuti grup tentang kemurungan di Facebook untuk kuatkan semangat. Daripada situlah saya tahu tentang Talian Kasih. Selepas tujuh hingga 10 kali sesi kaunseling, barulah saya benar-benar yakin dengan keputusan untuk berpisah pada 2020.
“Namun ia tidak semudah disangka kerana bekas suami seorang yang narsistik. Ajar anak tidak hormat saya, tidak layan saya seperti ibu mereka dan buat saya macam orang gaji. Anak-anak juga tidak diberi nafkah. Anak ibarat trofi sahaja. Tetapi dengan orang lain, dialah bapa terbaik beri cukup nafkah semuanya.
“Dia canang sana-sini saya seorang isteri yang tidak baik dan saya menanggung hutang bekas suami RM1,500 setiap bulan sehingga kini. Ketika belum bercerai, dia telah pun berkahwin lain untuk kikis duit malah turut memukul isteri baharunya,” kongsinya bekas suami menjadi sangat baik hanya kerana sesuatu yang dia inginkan.
Selepas dua tahun bercerai, hadirnya seorang insan menyinari semula hidup Natrah. Tidak pernah tergambar akan berkahwin lain kerana masih trauma namun keyakinan yang ditunjukkan suami kini mengubah persepsi Natrah terhadap lelaki.
“Dia pandai ambil hati anak-anak dan yakinkan saya bersedia menjadi seorang suami dan bapa kepada anak saya. Dia tidak paksa untuk mempunyai anak bersamanya kerana dia mahu saya sihat dan pulih daripada kisah silam,” ujarnya.
Nasihat Natrah, setiap wanita perlu sayang diri sendiri dan jangan salah pilih lelaki untuk dijadikan suami agar tidak merasa perkahwinan ibarat ‘neraka’ kelak.
BERTAHAN ATAU ANGKAT KAKI?
Kaunselor Berdaftar dan Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Rafidah Sadarudin berkata, keputusan bertahan demi anak-anak atau berpisah lebih baik, perlu dibincang bersama. Lebih penting adakah pasangan atau suami mahu berubah?
“Menggunakan isu anak untuk bertahan adakah berbaloi? Anak-anak jua ada mata melihat ibunya dipukul, diludah dan dimaki namun mereka kecil. Ibu terima pukulan, anak pun kena tempias, selamatkah?
“Sedangkan kita tahu rumahlah sepatutnya tempat paling selamat untuk didiami oleh anak. Ada sahaja anak yang cakap pada ibunya, kalau bercerai pun mereka setuju kerana sebenarnya anak-anak bijak menilai.
“Bila sebut ingin berpisah, berbincanglah. Gunakan orang tengah yang disegani untuk membantu perbincangan ini,” ujar beliau pasangan perlu lalui proses kaunseling untuk melihat sudut pandang yang berbeza dan tahu apa yang dikehendaki dalam hidup bagi perkahwinan yang dibina.
TIDAK PANDAI URUS EMOSI
Akui Rafidah, mendapat pasangan yang kaki pukul dan baran merupakan suatu mimpi ngeri bagi wanita.
“Tiada siapa yang mahu pasangan begini. Adakala tingkah laku ini boleh dilihat sebelum berkahwin lagi, cemburu dengan pasangan dan berani angkat tangan atau memukul isteri.
“Ia bermula dengan yang ringan-ringan dahulu, picit tangan meninggalkan kesan lebam, menolak pasangan sehingga hampir jatuh tersembam dan lain-lain keganasan yang tidak sepatutnya berlaku. Waima apa jua kekasaran yang dilakukan, bermula dengan tidak pandai menguruskan emosi diri dan cara coping skill yang tidak berhemah,” jelasnya.
TINGKAH LAKU MODELLING YANG DICONTOHI
Tambah beliau, pasangan atau suami yang memukul isteri adalah tingkah laku modelling yang dicontohi daripada bapa mereka.
“Bapa kaki pukul, melihat ibu sering dipukul menjadikan mereka rasa memukul adalah cara terbaik dan biasa dalam rumah tangga. Mereka pun akan contohi model ini kerana dirasakan betul. Pakej mengasari isteri selalunya datang dengan lisan yang sangat memedihkan hati seorang isteri. Bercakap ikut sedap mulut dan mengguris emosi isteri.
“Maki, mencarut dan melontarkan kata fitnah kepada isteri serta si suami menuduh tanpa periksa dan bukti yang kukuh. Malah mengongkong dan akibatnya isteri dilema dalam mematuhi cakap suami dan keperluan kerjaya,” katanya.
ISTERI MUDAH MEMAAFKAN
Kebiasaannya, suami akan menyesal selepas memukul isteri dan mohon maaf yang bersungguh sehingga menampakkan keinsafannya.
“Sampai ada tahap walaupun isteri sudah buat laporan polis namun dipujuk untuk tarik laporan tersebut, menggunakan isu anak, kerja dan sebagainya. Isteri mempunyai sifat lembut hati, mudah memaafkan lalu menarik laporan yang dibuat walaupun pada tika itu tangan hampir patah, mata ditumbuk, pipi dilempang dan sebagainya.
“Bila isteri kali pertama dikasari, lakukan pemeriksaan perubatan, dapatkan laporan perubatan dan bawa ke balai polis berhampiran. Dapatkan bantuan dan sokongan daripada segi psikologi terutama keluarga, orang yang rapat atau kaunselor perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata, isteri sepatutnya tahu hak dan tiada siapa patut mengasari mereka.
“Ia bukan cara mengajar yang betul dengan mengasari waima apa jua kesalahan atau sebab suami tidak pandai uruskan emosi, isteri yang tanggung akibatnya. Pilihlah untuk jaga kesihatan mental kita sebagai wanita, kerana kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Pertahankan diri kita untuk kesejahteraan diri yang holistik atau menyeluruh,” katanya.
ISTERI BOLEH DAKWA SUAMI MEMUKUL
Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd. Ridhwan Husin menjelaskan ada tiga kategori tindakan yang boleh didakwa ke atas suami yang memukul isteri.
“Pertama, tindakan jenayah yang akan dilakukan pihak polis kerana memukul atau mencederakan. Kedua, daripada aspek sivil, isteri boleh menyaman suami yang menyebabkan kerosakan tubuh badan contohnya patah tulang rusuk, patah tangan, lebam dan sebagainya boleh buat tuntutan sivil di Mahkamah Sivil untuk menuntut mana-mana kecacatan yang berlaku akibat pukulan.
“Ketiga, tindakan yang boleh dibuat atas dakwaan suami yang memukul ini adalah di Mahkamah Syariah atau Sivil bergantung kepada agama masing-masing untuk membuat perceraian dan sebagainya,” jelas beliau.
Mohd. Ridhwan menambah, sekiranya isteri menjadi mangsa pukul, dia perlu keluar dari tempat berlakunya keganasan rumah tangga untuk ke balai polis atau hospital.
“Hospital kerajaan ada menyediakan One Stop Crisis Centre (OSCC), yang menempatkan polis, pegawai perubatan dan kaunselor bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Di situ, mereka akan bantu daripada segi psikologi dan perubatan. Pusat ini paling cekap menangani isu keganasan rumah tangga.
“Jika ke balai polis pastikan laporan dibuat, kuat. Elakkan menarik semula laporan kerana terdapat lapan daripada 10 kes tarik balik
apabila dipujuk suami maka akan berbalik semula kepada pasangan,” katanya isteri boleh keluar dari rumah untuk pulang ke rumah wali atau keluarga mahupun ke tempat selamat sebelum buat laporan polis.
Nasihat beliau, jangan biarkan seorang wanita itu dijadikan sebagai mangsa semata-mata mahu terus bertahan kerana anak-anak.
“Isteri tidak akan dikatakan nusyuz jika keluar daripada keganasan kerana konsep Islam tidak ada dan tidak boleh membuat keganasan atau biarkan diri dalam situasi itu.
“Kesabaran itu hanya pada pukulan pertama sahaja, jika dua tiga kali dipukul maka perlu keluar sebab mengikut konsep syariah, mangsa perlu jaga nyawa dan tubuh badan daripada menjaga rumah tangga jika ia sudah tidak harmoni kalau terus bertahan. Ini kerana konsep kemudaratan telah pun berlaku.
“Ada wanita yang mahu bertahan untuk anak-anak tetapi perlu tahu yang anak-anak tidak boleh membesar dalam rumah tangga yang berkecamuk. Berfikir jauh, keluar dan kerja daripada tinggal dengan suami yang memukul,” tegasnya.
Kepada wanita, bertindaklah sebab nyawa lebih penting dan jangan jadi bodoh tinggal dalam rumah tangga sedemikian. Sekali suami angkat tangan untuk pukul, dia bukanlah suami yang baik.










