TUMPAT: Kenaikan harga beras Siam yang menjadi makanan ruji rakyat Kelantan antara RM1 hingga RM2 bagi pek lima kilogram menyebabkan rakyat negeri ini mengeluh dalam menyusun kewangan keluarga.
Tinjauan di pasar Wakaf Bharu dan beberapa kedai runcit sekitar mendapati beras siam seberat lima kilogram (kg) dijual pada harga RM16 berbanding RM15 sebelum ini.
Sementara harga sekampit beras seberat 25 kg sebelum ini dijual pada harga RM74 naik kepada RM76.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga beras yang mahu dikenali sebagai Rashid, 50, berkata, kenaikan mendadak harga beras Siam disebabkan kejatuhan mata wang Malaysia.
Menurutnya, situasi itu memberi kesan kepada peraih beras kerana memerlukan modal yang agak tinggi untuk mendapatkan stok bahan mentah itu.
“Harga beras Siam di Thailand tidak mengalami kenaikan, tetapi disebabkan ringgit terus menjunam, kami peraih perlu membayar lebih.
“Minggu lepas beras Siam 5kg dijual dengan harga RM15, tetapi hari ini sudah naik harga RM1,” katanya ditemui di kedainya di Pasar Wakaf Bharu, di sini semalam.
Rashid memberitahu, susulan kenaikan itu jualannya selepas Aidiladha merosot kerana kebanyakan pelanggan tetapnya adalah peniaga kedai makan.
Bagi peruncit, Zaharah berkata, beras Siam paling murah dijual dengan harga RM16 dan bagi beras gred A RM19.
“Ada pelbagai jenama beras Siam ini, tetapi paling laku yang berharga RM16 (5kg). Kenaikan ini membebankan pengguna dan ramai merunggut kerana beras mahal,” ujarnya.
Tambahnya, bekalan turut sukar diperoleh kerana kawalan ketat pihak berkuasa di sempadan.
“Bekalan beras banyak di Thailand tetapi sukar dibawa masuk kerana ia diseludup melalui pangkalan haram,” katanya.
Seorang pengguna, Rohani Zakariah, 53, berkata, minggu lepas dia membeli beras Siam 5kg dengan harga RM15.
“Tetapi hari ini saya dimaklumkan beras Siam itu sudah naik harga RM1. Walaupun mahal saya tetap membelinya kerana tidak mahu bertukar kepada beras Malaysia,” katanya. – UTUSAN











