LEGA rasanya setelah selesai menduduki peperiksaan akhir semester pertama saya di universiti. Pembelajaran di peringkat sarjana muda amat berbeza berbanding peringkat asasi sebelum ini walaupun dalam bidang dan di institusi pengajian tinggi (IPT) sama. Peperiksaan kali ini lebih mencabar, namun menyeronokkan.
Belajar di universiti merupakan masa untuk kita menuntut dan menghayati pelbagai bidang ilmu. Lebih penting lagi, inilah ketikanya untuk kita merangka sendiri perjalanan akademik diidamkan. Bilamana di IPT, kita tidak lagi terikat kepada keketatan gabungan bidang pelajaran dan stigma sains-sastera seperti di sekolah. Sebaliknya, kita boleh memilih sendiri dan menggabungkan bidang-bidang yang bersesuaian dengan minat dan keupayaan diri sama ada untuk pengajian major, minor atau elektif.
Namun begitu, dalam membuat pilihan, kita juga wajar melihat kepada kebolehgunaan bidang dipilih dalam kehidupan kita terutama ketika digabungkan. Amatlah penting untuk memastikan gabungan itu memberi nilai tambah kepada bidang pengkhususan yang kita pilih. Ramai juga yang tidak mementingkan hal ini ketika membuat pilihan bidang untuk dipelajari, baik di peringkat prauniversiti mahupun universiti.
Ada yang langsung tidak mengambil berat untuk memilih bidang pengajian semasa mendaftar, ada juga yang tidak diberi peluang untuk memilih. Sebaliknya mereka sekadar mengikut pilihan ibu bapa atau terpengaruh dengan rakan-rakan dan persekitaran. Benar, semua bidang ditawarkan adalah berguna dan penting tetapi pada masa sama, kita juga harus mengoptimumkan masa dan peluang mempelajari bidang yang benar-benar dapat kita manfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat.
Sikap terlalu mengutamakan kehendak industri tanpa memikirkan keupayaan, minat dan bakat pelajar sering mengakibatkan pelajar tertekan serta gagal mencapai prestasi baik dalam pelajaran. Contohnya, pelajar yang cemerlang digalakkan mengambil aliran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) walaupun mereka tidak mempunyai minat atau kebolehan dalam bidang tersebut. Sebaliknya, hanya kerana kurang cemerlang dalam peperiksaan, mereka akan terus ditolak ke bidang sastera yang dianggap lebih mudah.
Kesudahannya, tujuan utama kita memasuki universiti bukan lagi untuk menuntut ilmu. Sebaliknya, universiti menjadi tidak lebih daripada tempat bagi para pelajar mendapatkan sijil bagi melayakkan diri untuk pekerjaan yang baik. Apabila tujuan kita belajar bukan lagi untuk mendalami ilmu, maka budaya ilmu akan gersang. Akibat ketandusan ilmu, kita akan hidup dalam budaya dunia songsang dan cacamarba yang hanya berpaksikan nilai material semata-mata.
BERGEGAS
Adalah lebih produktif jika pelajar dapat memilih bidang paling sesuai dengan keupayaan mereka. Bukan hanya pilihan pelajar harus bebas daripada paksaan dan pengaruh pihak lain, tetapi juga harus belajar untuk membuat pilihan tepat demi masa depan mereka. Ini termasuk pilihan bidang minor dan elektif yang walaupun bermanfaat tetapi sepatutnya minor tidak dijadikan syarat yang diwajibkan kepada setiap pelajar untuk membolehkan mereka peroleh ijazah.
Saya amat bersyukur kerana memilih universiti yang bukan sahaja membenarkan peminoran interfakulti tetapi juga menggalakkan pengambilan elektif dan minor dalam bidang-bidang berbeza untuk meluaskan ilmu para pelajar. Hal ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar menerokai bidang berlainan yang diminati, tetapi juga mengembangkan pengetahuan serta menyuburkan budaya cintakan ilmu. Lebih istimewa lagi, saya menuntut di sebuah universiti yang mengintegrasikan semua kursus ditawarkan dengan pengajian Islam. Maka dengan itu, saya dapat menyelusuri tiga bidang berlainan secara serentak dalam tempoh pengajian di sini.
Saya memilih sains politik sebagai program major, dengan minor dalam bidang undang-undang. Jelas, kedua-dua bidang ini amat berkait rapat serta saling lengkap-melengkapi. Sememangnya inilah yang saya impikan pada kala saya memilih bidang sains politik sebagai program pilihan utama setelah selesai pengajian di peringkat asasi dahulu. Bidang-bidang ini amat saya minati sejak kecil, dan saya amat bertuah kerana berpeluang menimba ilmu dalam kedua-dua bidang ini dalam pengajian ijazah di universiti. Ini menjadikan saya lebih bersemangat dan seronok belajar, walaupun hampir setiap hari terpaksa bergegas mengejar kelas di dua fakulti berbeza.
Sebenarnya sains komputer merupakan satu lagi bidang yang amat saya minati sejak kecil. Seawal usia tiga tahun, saya sudah bermain dengan kekompleksan komputer, bermula dengan Microsoft PowerPoint.
Menjejak usia tujuh tahun, saya mula bereksperimen dengan pengekodan. Minat mendalam di bidang ini membawa saya untuk berusaha mempelajari ilmu kod komputer secara sendiri dan hasilnya saya mampu mengekod beberapa perkara termasuk laman sesawang sendiri.
Namun, ketika memilih laluan akademik yang bakal dilalui, saya memikirkan tentang dua perkara. Pertama, minat dan keupayaan diri. Kedua, sama ada saya dapat memberi manfaat besar kepada negara melalui bidang yang bakal dipilih. Walaupun tahu sains komputer merupakan bidang pengajian yang lebih menepati kehendak industri dan dikira lebih berprestij, namun saya akhirnya memilih bidang dianggap lebih rendah statusnya. Saya turut menggunakan kayu ukur sama ketika membuat pilihan bidang bagi melengkapi pengajian major pilihan saya.
Kepada para pelajar yang akan atau baharu memulakan pengajian prauniversiti, jangan sia-siakan peluang diberikan. Hargailah ilmu dan belajarlah bersungguh-sungguh. Jagalah adab sebagai pelajar kerana itulah maruah kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










