Pemimpin suka caci sana sini tak sesuai diberi tempat

Pemimpin suka caci sana sini tak sesuai diberi tempat

ADA negara berjaya menyelesaikan proses pilihan raya, namun masih ‘tersangkut’ untuk menubuhkan kerajaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESAL apa pada malam, kalau bulan dan bintang tidak lagi gemerlapan. Esok masih ada mentari kembali menyinar. Lalu, gunalah cahaya mengiringi perjalanan menemui destinasi dituju yang menjanjikan kehidupan lebih bererti. Secebis kata-kata kiasan ini boleh dikaitkan dengan wajah politik negara. Umum menerima hakikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, politik negara berkocak kalau tidak pun bergelora.

Ternyata suasana politik negara kurang stabil. Sementara kuasa menstabilkan politik negara itu sebenarnya terletak pada pilihan pengundi. Jadi, buatlah pilihan bijak dan tepat pada mana-mana pilihan raya untuk menentukan calon dan parti terbaik memerintah negeri atau negara. Mengeluh, menyesal berpanjangan tidak menyelesai keadaan, sedangkan kuasa undi di tangan sering dipersiakan.

Mengutamakan pilihan secara cermat dan bersifat objektif boleh menamatkan kemelut politik yang mengganggu kestabilan daripada terus berlarutan. Para peneraju pemerintahan negara akan memiliki lebih banyak masa dan ruang suasana untuk menumpukan usaha dan pendekatan memajukan negara dan mensejahterakan penghidupan rakyat jika keadaan politik tidak tergugat dan tidak menimbulkan pelbagai karenah.

Jangan terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend global yang suasana politiknya terlalu rapuh. Sehingga ada negara-negara yang terpaksa menukar kerajaan dan pucuk pimpinan hanya dalam tempoh tidak sampai pun genap setahun. Malah, ada juga negara yang berjaya menyelesaikan proses pilihan raya, namun masih ‘tersangkut’ untuk menubuhkan kerajaan. Semua ini adalah terjemahan daripada gara-gara iklim politik tidak stabil.

Yang jelas, keadaan demikian langsung tidak membawa impak kebaikan. Malah ekonomi negara menjadi muram selain kehidupan sosial menjadi celaru dan huru-hara. Belum lagi termasuk suasana di sesetengah negara yang mengalami perang saudara berterusan. Akibatnya, kehidupan rakyat bertambah menderita, terpaksa menghadapi kekurangan sumber makanan, tiada kuasa beli serta ramai pula yang terpaksa menjadi pelarian ke negara orang ekoran kehidupan diancam keselamatan.

LAPUK

Rakyat memiliki acuan tersediri dalam kehidupan bernegara. Bersyukurlah, kehidupan rakyat Malaysia sentiasa teguh berpaksikan semangat saling menerima, menghormati dan akur dengan struktur kenegaraan yang ada, khususnya apa termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Semangat ini perlu dikekalkan dan disuburkan. Pelihara dan hargailah keistimewaan yang dinikmati sejak sekian lama. Ya, lama tidak bermakna lapuk dan tidak perlu lagi diguna pakai, sementara yang baharu bukan semua menjanjikan bernilai, malah mungkin ada terpaksa diubah suai.

Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini perlu menampilkan manifestasi kemurnian jiwa rakyat untuk melihat kestabilan dan menikmati kedamaian. Setidak-tidaknya perlu diutuskan suatu isyarat bahawa parti dan calon yang benar-benar ‘diperlu’ (bukan sekadar disukai) tetap diberi sokongan, manakala calon dan parti yang tidak membawa keyakinan perlu diketepikan. Ertinya, mereka yang bergelar tokoh atau pemimpin yang suka bercakap lantang dan berdegar-degar mengutuk, mencaci, mengata di sana sini barangkali amat tidak sesuai diberi tempat. Yang penting, lihat pada kemampuan memenuhi janji, bukan hanya tingkah berperi.

Pilihlah parti dan calon yang benar-benar mampu memberi naungan kepada rakyat khususnya dalam konteks membangunkan kemajuan negeri. Katakan, “Tidak!” pada retorik dan kepalsuan. Nilai secara jujur, jangan tengok pada usia pemerintahan, tetapi lihatlah pada keupayaan sebenar membawa kemajuan. Kehidupan sentiasa bersandarkan keperluan. Dan asas keperluan kehidupan rakyat tidak statik. Generasi baharu misalnya, tentu memerlukan jaminan masa depan yang terbuka. Mereka perlukan peluang-peluang pekerjaan yang sesuai. Saban tahun, ramai yang menamatkan pengajian dari pusat-puat pengajian tinggi.

Juga, rakyat memerlukan punca pendapatan yang terjamin. Seboleh-bolehnya mampu meraih kadar pendapatan selari dengan kos sara hidup seharian. Semua ini sukar dicapai melalui gaya pemerintahan hanya bercagar janji yang tidak mampu dan tidak pernah ditepati. Kenapa susah sangat menilai di antara kerajaan berlandas slogan dan suka ‘bercakap besar’ dengan kerajaan bersifat realistik?

Pilihlah para pemimpin yang mudah mesra, senang berkira. Pihak pengurusan parti perlu menawarkan calon-calon yang mudah belago angin dengan rakyat. Berilah jawapan atau jalan penyelesaian terhadap rungutan rakyat yang kerap berhadapan dilema mahu memilih sama ada calon atau parti. Usahakan agar kedua-dua unsur ini berjalan seiring bagi memudahkan rakyat membuat pilihan.

Tegasnya, hantarkan mesej jelas suara akar umbi tentang politik negara melalui PRN yang bakal tiba. Rakyat perlu berani dan tegas menzahirkan aspirasi sebenar, iaitu untuk memastikan bumi Malaysia ini terus aman, maju, makmur. Sementara rakyat menaruh harapan, pemimpin pula perlu bersedia menepati haluan. – UTUSAN

Datuk Sayuti Mukhtar Sayuti ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×