30 rumah rosak dibadai ribut

30 rumah rosak dibadai ribut

KEADAAN sebuah rumah yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Lebih 30 rumah penduduk di 10 kampung di Ajil dan Kuala Berang di sini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut, kelmarin.

Beberapa buah rumah turut rosak akibat dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 hingga 6 petang itu.

Seorang penduduk Kampung Durian Kassim, Omar Safie, 60, berkata, sebelum kejadian dia sedang berbual dengan seorang rakan di beranda manakala tiga ahli keluarganya berehat di dalam rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mulanya awan gelap, tiba-tiba angin kencang seperti berpusar hingga menyebabkan tiga buah motosikal diletakkan bawah bumbung hadapan rumah berganjak ke kawasan halaman.

“Dalam keadaan kelam-kabut saya bergegas alihkan motosikal ke tempat asal. Ketika itu juga ada ahli keluarga melaungkan azan serta menangis ketakutan apatah lagi melihat kepingan atap rumah mula diterbangkan angin.

“Keadaan berlaku tidak lama tetapi sangat menakutkan. Bekalan elektrik terputus apabila banyak pokok tumbang menghempap kabel elektrik,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Kassim, di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Azhar Abdul Rahman, 54, berkata, kejadian ribut berlaku kurang dari dua minit itu mengakibatkan dua kereta dan motosikalnya rosak dihempap pokok tumbang.

“Sebelum kejadian saya berehat di ruang tamu rumah kerana baru pulang dari Hospital Hulu Terengganu (HHT) selepas empat hari dimasukkan ke wad akibat masalah kesihatan.

“Saya hanya mampu berdoa dan tawakal. Syukurlah tiada kecederaan walaupun sebatang pokok besar bersebelahan rumah tumbang menghempap kereta dan motosikal.

“Hanya selepas keadaan ribut reda, saya keluar rumah melihat keadaan dan mendapati kenderaan saya serta rumah jiran-jiran rosak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×