KUALA LUMPUR: Tindakan mengubah suai ekzos kenderaan tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan boleh menjadi punca pembocoran sistem mekanikal tersebut yang kemudian mampu menyumbang kepada insiden kematian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk ChM Ts Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, keadaan itu boleh berlaku kerana gas karbon monoksida (CO) yang dilepaskan daripada ekzos boleh memasuki ruang udara dan terperangkap dalam kenderaan.
Menurut beliau, gas CO adalah satu daripada komponen utama dalam asap ekzos kenderaan dan keadaan itu boleh berlaku terutamanya bagi kenderaan yang telah ‘berusia’ iaitu apabila sistem mekanikal kereta tidak sesuai dengan standard yang ditentukan yang berkemungkinan menyebabkan berlaku kebocoran ekzos.
“Kepekatan CO terkumpul dalam ruang kenderaan meningkat dalam keadaan statik yang mendatangkan risiko maut tanpa sebarang tanda dan diluar kesedaran ketika pernafasan kerana gas CO adalah sangat beracun dengan tidak ada bau dan tidak berwarna.
“Peningkatan jumlah CO ke dalam kenderaan juga boleh berlaku disebabkan berlaku kebocoran dalam sistem saluran penghawa dingin. Apabila terlalu tinggi kepekatan karbon monoksida berada di kenderaan, badan akan menggantikan oksigen dalam sel darah merah dengan karbon monoksida.
“Ini menghalang oksigen daripada sampai ke tisu dan organ seterusnya menyebabkan kerosakan tisu yang serius yang mengakibatkan kematian. Kejadian ini biasanya berlaku sekiranya pemilik kenderaan tersebut ada melakukan pengubahsuian pada alat yang saya beritahu tadi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden tiga termasuk seorang wanita yang ditemukan mati lemas di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di kawasan hentian rehat Yong Peng arah selatan Lebuh Raya Utara Selatan, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.59 malam itu, mangsa yang ditemukan tidak bernyawa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 23 hingga 27 tahun.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida ketika berehat di hentian berkenaan.
Selain itu, Dr. Taufiq secara peribadi menyifatkan kejadian seperti tidak wajar berlaku dan sepatutnya dapat dielakkan.
“Sangat menyedihkan kerana ia bagaimanapun seringkali terjadi di kalangan pengguna kenderaan. Seolah-olah, kejadian seperti ini tidak memberi pengajaran kepada masyarakat kita.
“Kalau boleh saya mahu nasihatkan kepada semua pengguna untuk tidak menjadikan ia satu amalan. Sama ada mengenai pengubahsuaian mekanikal pada kenderaan tanpa spesifikasi atau pun tindakan berada dalam kenderaan terlalu lama sambil membuka penghawa dingin.
“Jangan main-main perkara seperti ini dan jangan syok sendiri ubahsuai sistem dalam kenderaan tanpa mengambil kira keutamaan aspek keselamatan,” katanya. – UTUSAN








