24 lelaki ditahan gaduh ekzos motosikal bising ketika upacara agama - Utusan Malaysia

24 lelaki ditahan gaduh ekzos motosikal bising ketika upacara agama

TANGKAP layar video pergaduhan di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang semalam yang tular di media sosial hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Polis menahan seramai 24 lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, di sini semalam seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, dalam insiden terbabit, seorang remaja lelaki dipukul sekumpulan individu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan mangsa telah melakukan provokasi dengan membunyikan ekzos motosikal.

“Tindakan mangsa itu menghasilkan bunyi bising dan pada masa sama satu upacara keagamaan sedang berlangsung di kawasan itu.

“Kesemua suspek termasuk mangsa yang berusia antara 16 sehingga 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan salah seorang daripadanya didapati memiliki dua rekod kesalahan lampau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147.

Sementara itu, Mohd. Asri meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat berhubung kejadian terbabit.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke IPD SPU atau balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Nazri Wan Chik di talian 014-3190131 membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat di laman sosial yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan beberapa individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya