KOTA BHARU: Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) memperkenal konsep pandu lalu dengan mewujudkan pusat kitar semula dalam usaha mengajak orang ramai menyokong program berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pusat kitar semula terletak bersebelahan hentian bas Dataran Usahawan Kok Lanas itu beroperasi setiap Ahad, Selasa dan Khamis mulai pukul 2 petang sehingga 5 petang serta setiap Sabtu mulai pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Pusat ini dikendalikan seorang pekerja yang turut bertanggungjawab menjaga kebersihan di hentian bas ekspres, tandas dan musalla,” katanya.
Dr. Izani berkata, menerusi pembukaan pusat itu, MDK-PI mengambil inisiatif melaksanakan pertukaran barangan kitar semula kepada wang tunai bagi menggalakkan amalan kitar semula.
Katanya, selain bayaran tunai, MDK-PI menawarkan pakej menukar barangan kitar semula kepada derma untuk tabung kebajikan.
“Bahan-bahan kitar semula yang dihantar itu ditukar dengan duit tunai sekali gus dapat menjana pendapatan tambahan. Selain itu, hasil daripada jualan bahan kitar semula itu boleh disalurkan kepada tabung kebajikan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa bencana alam, golongan asnaf dan anak-anak yatim,” ujarnya.
Menurutnya, sebelum ini MDK-PI telah melaksanakan operasi menukar barangan kitar semula dengan barangan keperluan asas, namun ia terpaksa ditukar kerana menimbulkan banyak masalah.
“Harga barangan kitar semula tidak sama dengan barangan runcit yang ditawarkan selain penyimpanan barang runcit yang tidak selamat dan mempunyai tarikh luput,” katanya. – UTUSAN











