KUALA LUMPUR: Cadangan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, kini dilaksanakan di kawasan Lembaga Pertanian Muda (MADA) seperti diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan fasa permulaan seluas 213.99 hektar melibatkan 165 pesawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Kajian Padi Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohd. Syaifudin Abdul Rahman berkata, projek berkenaan sedang dilaksanakan secara berperingkat di kawasan MADA.
“Penanaman ini berpotensi untuk dicapai berdasarkan kepada sokongan serta dasar kerajaan yang jelas seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Selain itu, elemen penting perlu diberi keutamaan seperti pelaksanaan dan pengurusan teratur, pengairan sistematik, bantuan subsidi, aplikasi teknologi sesuai, menambah baik infra ladang dan saliran serta komitmen pesawah kepada program tersebut,” katanya.
Ditanya mengenai penghasilan varieti padi yang mampu menghasilkan biji padi antara 300 hingga 400 biji per tangkai, Mohd. Syaifudin berkata, ia adalah satu cadangan yang baik sekiranya selari dengan ciri-ciri yang bersesuaian.
Katanya, kebanyakan varieti padi moden dalam negara mampu menghasilkan biji padi per tangkai sekitar 150 -200 biji bergantung kepada varieti, musim, lokasi, pengurusan dan peratus pengisian biji bernas per tangkai yang melebihi 80 peratus.
“Selain itu, pembangunan varieti tempatan juga mementingkan ciri pokok padi rendah yang kurang 120 sentimeter, batang padi tegap dan toleran kepada masalah rebah, kualiti biji padi yang sesuai dengan pasaran tempatan dan tahan penyakit.
“Potensi hasil padi tempatan mampu mencapai lapan hingga 10 tan per hektar. Namun, hanya sebilangan kecil pesawah mampu mencapainya dan sebahagian besar masih sekitar empat hingga lima tan per hektar.
“Namun daripada kajian MARDI, MR 257 contohnya mampu mempunyai 300 hingga 350 biji per tangkai tetapi kualiti padi kurang baik menyebabkan pengisian kurang dan beras berkapur.
“MARDI yakin, kajian pembaikbakaan untuk menghasilkan varieti yang berhasil tinggi sememangnya menjadi kriteria utama,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob berkata, Malaysia mempunyai tanah yang terhad yang mana banyak kawasan sawah kini dibangunkan kilang dan kawasan perumahan.
Penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih padi supaya menghasilkan 300 hingga 400 biji dalam satu tangkai adalah antara usaha yang perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan pendapatan pesawah dan keterjaminan makanan.
“Penanaman ini berpotensi untuk dicapai berdasarkan kepada sokongan serta dasar kerajaan yang jelas seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Selain itu, elemen penting juga perlu diberi keutamaan seperti pelaksanaan dan pengurusan yang teratur, pengairan yang sistematik, bantuan subsidi, aplikasi teknologi yang sesuai, menambah baik infra ladang dan saliran serta komitmen pesawah kepada program tersebut,” katanya. – UTUSAN











