TUAH manusia siapa yang tahu. Daripada bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, pemilik Spa Bekam Ar Rayyan boleh memberi inspirasi dengan memiliki 30 buah spa bekam seluruh negara dalam tempoh hanya lapan tahun.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Mohammad Fathullah Melatu Samsi, 39, tidak pernah terlintas untuk berada pada tahap ini. Idea perniagaanya bermula selepas tertarik dengan perkhidmatan bekam secara mudah alih.
Idea membangunkan spa bekam bermula selepas melihat kesanggupan kakak ipar isterinya, sanggup berulang-alik dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur (KL) semata-mata untuk berbekam.
“Rawatan bekam itu diadakan secara mudah alih. Saya tertanya-tanya bagaimana jika orang di KL ingin mencari tukang bekam di Kuala Pilah.
“Daripada situlah, sekitar 2015 saya belajar dan mengkaji bekam seterusnya menjadikan ia bisnes kerana melihat kepada kekurangan tukang bekam atau juruterapi di kebanyakan tempat,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
BEKAM 50 ORANG TANPA BAYARAN
Ujar Mohamad Fathullah, selepas mendapatkan kursus bekam, beliau dipesan oleh Ustaz Abd. Hadi Md. Isa yang mengajarnya untuk tidak mengambil bayaran kepada 50 orang pertama yang berbekam dengannya.
“Hari itu, ustaz pesan jangan ambil bayaran dahulu kalau nak buat bekam. Cukupkan 50 orang selepas itu barulah minta bayaran.
“Jadi malam itu juga, selepas kursus saya panggil adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan untuk berbekam dengan saya di rumah. Dari situlah bermulanya karier saya sebagai jurubekam,” tuturnya.
Beliau dan isteri memulakan perniagaan dengan membuka spa bekam pertama di Gombak.
“Kami bermula berdua sahaja sebelum membuka cawangan lain dan pengambilan staf yang lebih ramai,” ujar. Kini spa bekam itu memiliki lebih 130 juruterapi bertauliah oleh Jabatan Pembangunan dan Kemahiran (JPK).
TAWAR PROGRAM PERLESENAN SPA BEKAM
Mengenai resipi kejayaan, anak kelahiran Pontian, Johor ini, mengakui melalui pelbagai liku dalam membangunkan perniagaan.
Namun bersyukur tiada satupun cawangan ditutup meskipun ketika fasa pandemik Covid-19 lalu yang menyaksikan banyak peniagaan gulung tikar.
Malah turut meraih pendapatan jualan lebih RM58 juta dengan lebih 300,000 pelanggan.
Sebagai langkah mengembangkan perniagaan Spa Bekam Ar Rayyan daripada segi penjenamaan, tahun lalu beliau memperkenalkan program perlesenan kepada individu yang berminat berkecimpung dalam industri spa bekam.
“Program perlesenan ini dapat membuka ruang dan peluang kepada individu, syarikat dan koperasi untuk menjalankan perniagaan lebih berstruktur.
“Bermodalkan RM300,000, program ini lengkap dengan penggunaan jenama Ar Rayyan, pemasaran, juruterapi dan premis serta pemilihan lokasi yang strategik di seluruh negara,” katanya yang menyasarkan membuka 20 cawangan menjelang 2025.
KONSEP SPA
Kelainan konsep spa ditawarkan, bertujuan mengubah persepsi masyarakat yang menganggap bekam sebagai rawatan tradisional tidak selamat atau masih menggunakan cara lama.
“Konsep ini menjamin keselesaan, keselamatan dan keyakinan pelanggan terhadap bekam.
“Ia sekali gus memberi kesedaran tentang gaya hidup sihat dengan berbekam sebagai pelengkap penjagaan kesihatan di samping memartabatkan amalan sunnah ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Dalam banyak rawatan bekam, bekam sunnah seluruh tubuh daripada kepala hingga kaki adalah rawatan paling popular ditawarkan.
Rawatan bekam lain ditawarkan termasuklah bekam angin, tanduk, seri wajah, inframerah, tanduk serta urutan tradisional dan kiropraktik.
TAKUT DARAH JADI CABARAN
Mengimbau pengalaman membabitkan diri rawatan bekam, isteri Mohammad Fathullah yang dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Operasi Spa Bekam Ar-Rayyan, Wan Noor Natassha Wan Jamaluddin menjelaskan, suaminya seorang yang takut darah, namun menyahut cabaran untuk menjalankan perniagaan bekam.
“Suami boleh pengsan tengok darah tetapi peliknya boleh bekam orang tanpa pengsan. Mungkin sebab keinginan nak belajar, cabar diri dan sebagai punca rezeki maka daripada takut darah boleh dilawan ketika memberi rawatan bekam,” katanya.
Pernah dalam suatu insiden, Mohammad Fathullah, pernah hampir pengsan secara tiba-tiba sewaktu memberi rawatan bekam kepada pesakit.
Mungkin ketika itu penyakit takut darah sampai.
Badannya jadi lemah dan seminggu tak boleh bangun.
“Gurunya memberitahu ia berlaku mungkin disebabkan bau darah,” katanya berkongsi cerita.











