Baik pulih Stadium Tuanku Syed Putra siap April tahun depan

Baik pulih Stadium Tuanku Syed Putra siap April tahun depan

PEMINAT bola sepak dapat menyaksikan kembali aksi di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis selepas kerja-kerja membaik pulih stadium itu dijangka siap April tahun depan . - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penantian untuk menggunakan Stadium Tuanku Syed Putra di sini bakal berakhir apabila kerja-kerja membaik pulih stadium berkenaan dijangka siap April tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, kerja-kerja menaik taraf stadium berkenaan bermula pada 25 Oktober tahun lalu dengan peruntukan diluluskan kerajaan Persekutuan sebanyak RM8 juta.

Katanya, proses baik pulih itu membabitkan bilik-bilik serba guna, penggantian bumbung baharu, tempat duduk penonton, pembaikan trek balapan, kerja-kerja kalis air dan menaik taraf sistem perpaipan tandas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim dalam lawatan ke Perlis baru-baru ini, kementerian tersebut juga meluluskan peruntukan dalam projek sama untuk membina baharu padang bola sepak sintetik di dalam kompleks ini dengan nilai RM3.8 juta,” katanya.

Adam Adli dalam ucapan perasmian sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri baru-baru ini memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan projek naik taraf infrastruktur stadium utama Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra termasuk pembinaan trek balapan baharu bernilai RM8 juta.

Katanya, di bawah projek sama, kementerian meluluskan peruntukan untuk membina padang bola sepak sintetik di dalam kompleks berkenaan dengan nilai RM3.8 juta.

Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, selepas kerja-kerja membaik pulih siap, pelbagai aktiviti kembali boleh dilaksanakan khususnya untuk perlawanan bola sepak.

“Selain itu, trek balapan berkenaan boleh digunakan untuk penganjuran kejohanan olahraga peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Ia juga untuk penggunaan pertandingan bola sepak dan majlis rasmi kerajaan negeri selain fasiliti untuk sewaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×