JOHOR BAHRU: Niat murni seorang pemuda meminjam wang sebanyak S$10,000 dolar (RM34,309) bagi tujuan perubatan ibu bapanya bertukar padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket ceti haram atau ah long yang menyamar sebagai perunding kewangan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond, 34, menemukan akaun perkhidmatan perunding kewangan itu dalam laman sosial Facebook di Singapura pada 5 Julai lalu sebelum mendapatkan nasihat berkaitan kewangan.
“Sebenarnya saya bercadang meminjam wang sebanyak S$10,000 untuk kegunaan keluarga termasuk tujuan perubatan ibu bapa. Saya mengisi butiran peribadi dalam satu pautan yang dikongsikan laman sosial berkenaan sebelum dihubungi seorang individu yang memberitahu mereka sebenarnya peminjam wang tidak berlesen.
“Disebabkan itu, saya membatalkan hasrat membuat pinjaman tersebut namun individu berkenaan tetap memaksa saya buat pinjaman. Jadi, saya buat jumlah paling rendah dan menyelesaikan jumlah bayaran yang diminta pada hari sama,” katanya di sini semalam.
Raymond yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia menyangka perkara tersebut selesai namun individu itu kembali menghubunginya dan meminta wang dengan membuat ugutan.
“Kerana bimbang, saya buat lagi pembayaran sehingga terpaksa pinjam wang daripada rakan. Namun selepas pembayaran dibuat, individu itu meminta saya bayar lagi dan kerana saya tidak layan tuntutan itu, mereka membaling cat di rumah rakan saya di Sri Stulang Jumaat lalu dan rumah saya di Permas Jaya, semalam,” katanya.
Menyedari dirinya terus diganggu, Raymond membuat dua laporan di Balai Polis Toa Payoh di Singapura pada 13 Julai lalu.
“Saya turut membuat empat laporan di Balai Polis Seri Alam, Balai Polis Permas Jaya dan Balai Polis Taman Pelangi kerana bimbang keselamatan diri. Saya menyesal kerana telah menekan pautan di Facebook dan menyeru orang lain agar tidak mudah tertipu dengan memberikan maklumat peribadi dalam laman sosial seperti saya,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berharap sindiket ah long tersebut menghentikan tindakan mengugut mangsa dan enam laporan polis telah dibuat. – UTUSAN










