Zahid pernah jemput Tun M terajui UMNO?

Zahid pernah jemput Tun M terajui UMNO?

AHMAD ZAHID HAMIDI dan DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didakwa pernah menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menerajui semula parti tersebut dengan menukarkan nama UMNO kepada nama asalnya ia­itu Pertubuhan Kebangsaan Me­layu Bersatu (Pekembar).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mendakwa, tawaran tersebut dibuat Ahmad Zahid dalam satu pertemuan dengan Dr. Mahathir sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, antara lainnya, Ahmad Zahid menawarkan supaya Dr. Mahathir kembali semula menerajui UMNO, namun permintaan tersebut ditolak.

“Pertemuan itu berlangsung ketika (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum dibebaskan. Tun ditawarkan untuk menyertai semula UMNO, namun ditolak kerana beliau tak mahu terbabit dengan kumpulan ‘kleptokrat’.

“Ahmad Zahid kemudiannya mencadangkan supaya UMNO ditukar kepada Pekembar tetapi cadangan itu bukan saja ditolak, malah, Tun marah kerana niatnya hanyalah mahu Ahli Parlimen UMNO yang tak terbabit dengan ‘kleptokrat’ sertai Bersatu,” katanya.

Tegas beliau, Dr. Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah berkomplot untuk membubar atau mengharamkan UMNO seperti didakwa Anwar.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada siri Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah kelmarin mendakwa bahawa Dr. Mahathir dan Muhyiddin berpakat untuk mengharamkan UMNO, namun, ditentang olehnya.

“Saya cerita pengalaman bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pakat untuk haramkan UMNO, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang.

Saya lawan UMNO masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan UMNO.

“UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan?

“Kalau dalam politik kita lawan, dia (Muhyiddin) kata tak boleh, keputusan sudah dibuat (untuk haramkan UMNO). Saya bercakap dengan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng ketika itu, kami tak setuju dan tak bersama (dalam keputusan itu),” kata Anwar.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, dakwaan Ahli Parlimen Tambun itu adalah tidak benar dan tidak berasas.

Beliau pada masa sama turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai suatu pembohongan.

“Saya tak ingat ada pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin, Tun Mahathir, Anwar dan lain-lain pimpinan PH di rumah Tan Sri Muhyiddin seperti yang didakwa oleh Anwar.

“Ketika Anwar keluar penjara, Tun Mahathir jadi Perdana Menteri. (Sebagai Perdana Menteri) Perjalanannya mesti ada rekod. Seingat saya, pertemuan itu tidak pernah berlaku. Kalau Perdana Menteri datang ke rumah Tan Sri Muhyiddin, mesti saya ingat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dakwaan tersebut dilemparkan Anwar disebabkan kerisauannya terhadap sokongan dipe­roleh PN termasuk daripada ahli UMNO sendiri.

“Bagi saya, Anwar mula risau bahawa semakin ramai penyokong UMNO beralih arah menyokong PN (Perikatan Nasional). Jadi, beliau perlu mereka cerita palsu untuk membuatkan penyokong UMNO marah kepada Tan Sri Muhyiddin dan PN.

“Ini suatu taktik kotor. Saya tak fikir rakyat mudah percaya kepada cerita palsu yang beliau reka,” dakwa beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×