Malaysia mahu pendengaran kes MH17 lebih adil, benar

Malaysia mahu pendengaran kes MH17 lebih adil, benar

Gambar fail 2021 menunjukkan hakim dan peguam memeriksa bangkai pesawat MH17 di pangkalan udara tentera Belanda. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bertegas agar proses pendengaran kes MH17 mengenai penyelesaian perbezaan antara pihak berkonflik yang diputuskan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dilaksanakan secara adil dan benar.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia tetap memastikan proses pendengaran yang diputuskan pada 17 Mac lalu dibuat secara benar memenuhi elemen akauntabiliti.

“Keputusan kes jenayah penerbangan MH17 diputuskan Mahkamah Daerah The Hague di Belanda 17 November 2022.

“Kesimpulannya, keputusan itu menandakan peristiwa pen­ting dalam memberi kebenaran dan mendedahkan keadilan bagi 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat itu,” katanya semalam.

Susulan itu, Kementerian Pe­ngangkutan terus mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga yang terlibat dalam nahas penerbangan MH17 yang memasuki tahun kesembilan.

Pada 17 Mac lalu, Majlis Pe­nerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) me­ngundi dan memutuskan untuk mendengar kes terhadap Russia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Luar Australia, Penny Wong serta Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra dengan kedua-dua negara itu memulakan tindakan berhubung insiden MH17 pada tahun lalu di ICAO.

Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Russia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×