Naikkan gaji lulusan TVET - Anwar

Naikkan gaji lulusan TVET – Anwar

ANWAR Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi meninjau gerai pameran pada program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu ditingkatkan antara RM2,500 hingga RM3,000 supaya lebih ramai terlibat dalam bidang itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji lulusan tersebut ketika ini antara RM1,800 hingga RM2,000 dianggap lebih rendah daripada lulusan diploma dan universiti.

Katanya, persepsi sebegitu masih wujud sehinggakan pelajar menjadi tidak bersemangat ketika meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut meskipun jumlah pelajar yang mengikuti jurusan berkenaan ramai ketika ini.

“Kalau kita mulakan usaha mempertingkatkan dan memperkasakan jurusan TVET ini termasuk meningkatkan gaji yang sepatutnya diterima mereka, maka saya ingat minat generasi muda itu kepada jurusan TVET dengan sendirinya akan meningkat.

“Cuma perlu ada beberapa perubahan dalam kementerian terlibat yang harus menerima kenyataan tentang cara dan kaedah lama harus diubah suai supaya latihan TVET itu dapat memenuhi keperluan industri.

“Dalam masa sama, pihak industri juga seperti syarikat Proton, Geely, Petronas dan sebagainya dapat menyediakan latihan serta sijil seterusnya memastikan pekerjaan kepada lulusan TVET ini terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang – Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam, dekat sini, semalam yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar menjawab soalan daripada seorang peserta program itu mengenai bagaimana untuk meyakinkan generasi muda yang mana TVET merupakan laluan pendidikan tepat selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta bagaimana TVET mampu menarik minat pelajar sebagai pilihan untuk menyambung pengajian.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pensyarah di institusi terbabit turut memainkan peranan penting sekiranya mutu dan latihan akhir jurusan TVET mahu terus ditingkatkan pada masa depan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan untuk menyediakan dan menambah dana khas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menyediakan platform dalam melatih pensyarah-pensyarah TVET termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat berprestasi tinggi seperti Petronas, Geely dan Proton. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×