Minyak masak peket kembali sukar diperoleh

Minyak masak peket kembali sukar diperoleh

DANG Merduwani Tajuddin menunjukkan minyak masak peket yang dibelinya di sebuah pasar mini di Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/ OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Isu kekurangan minyak masak peket kembali menghantui pengguna berikutan barangan kawalan itu sukar didapati di premis perniagaan sejak minggu lalu.

Tinjauan mendapati, walaupun harga jualan pada kadar biasa iaitu RM2.50 sepeket, pengguna tertekan berikutan peniaga mengenakan catuan dengan membenarkan hanya tiga peket boleh dibeli dalam satu-satu masa.

Seorang peniaga kedai makan, Dang Merduwani Tajuddin, 38, berkata, sejak seminggu lalu dia mengalami masalah mendapatkan minyak masak peket untuk penyediaan pelbagai menu lauk-pauk di sebuah medan selera di sini.

“Saya memerlukan lebih kurang 10 peket minyak masak sehari dan jika gagal mendapatkannya sudah tentu perniagaan saya akan terjejas.

“Disebabkan barang itu dicatu saya terpaksa bergilir-gilir dengan pembantu mengunjungi sebanyak mungkin premis yang menjual barangan itu untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Peniaga kuih, Salmah Rahim, 48, dari Taman Ria Jaya pula berkata, barangan itu sukar didapati sejak minggu lalu dan jika ada pun peniaga tidak membenarkan untuk dibeli dalam kuantiti yang banyak seperti biasa.

“Di kedai runcit berdekatan kediaman saya, minyak peket itu hanya dibenarkan dibeli dua peket seorang.

“Walaupun saya merayu dengan mengatakan barang itu perlu untuk penyediaan kuih-muih, peniaga memberi alasan dia kehabisan stok kerana bekalan dihantar pemborong sedikit jumlahnya,” katanya.

Bagi Salimah Salim, 39, peniaga kedai makan di Taman Arked berkata, dia hairan kerana minyak masak peket dan pelbagai barangan bersubsidi lain sentiasa mengalami kekurangan di pasaran.

“Barang-barang seperti gula pasir, tepung yang merupakan keperluan pengguna selalu tidak mencukupi sekarang berbanding sebelum ini.

“Sepatutnya pihak berkuasa memantau keadaan ini kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan seharian pengguna yang telah terbeban dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×