Jentera UMNO semua negeri digerak bantu negeri ada PRN

Jentera UMNO semua negeri digerak bantu negeri ada PRN

MOHAMED Khaled Nordin (dua, dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Jelebu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof pada majlis penyampaian watikah itu di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli UMNO di negeri yang tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pertengahan bulan depan tidak akan berdiam diri dengan hanya menjadi penonton kepada perjalanan pilihan raya yang akan berlaku di enam negeri di Semenanjung Malaysia itu.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jentera parti di negeri berkenaan akan digerakkan bagi membantu rakan-rakan mereka di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, UMNO telah pun menyusun jentera dari negeri yang tidak terlibat dengan PRN seperti Melaka, Johor, Pahang dan Perak untuk bersama membantu negeri yang berhadapan dengan PRN.

“Sebagai contoh UMNO Johor yang mempunyai 26 bahagian akan menghantar lebih 50 ahli di setiap bahagian untuk membantu kempen PRN di Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.

“Sebagai satu keluarga yang besar kami akan sama-sama terlibat lebih-lebih lagi UMNO akan bertanding kerusi yang diberikan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti (JPENKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan supaya PRN diadakan di negeri berkenaan pada 12 Ogos ini dengan tarikh penamaan calon ialah pada 29 Julai ini.

Sebanyak 245 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN itu dengan 36 kerusi di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

Mohamed Khaled memberitahu, peringkat pertama hubungan antara negeri angkat dengan bahagian UMNO yang terlibat sudah pun dilakukan sebelum ini.

“Sekarang kita mahu menyusun gerak kerja supaya PRN ini berjalan dengan teratur dan lancar hingga mampu memberi keputusan yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini parti itu tidak berdepan dengan apa-apa masalah yang boleh menggugat gerak kerja yang telah dirancang dan berharap keadaan itu akan kekal hingga tamat PRN.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×