PETALING JAYA: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan menjadi sebagai agensi pusat keselamatan siber utama yang akan melaporkan terus kepada Perdana Menteri.
Selain itu, Rang Undang-undang Keselamatan Siber akan digubal secepat mungkin bagi memberikan NACSA kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.
Itu adalah antara tindakan yang diambil kerajaan dalam usaha mengukuhkan lagi sistem keselamatan siber negara yang akan dibincang dan dimuktamadkan oleh mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semua tindakan itu adalah susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu.
“Saya ingin tegas mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan siber dan tidak akan membiarkan mahupun melengah-lengahkannya.
“Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen tegas kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan siber,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 semalam.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, kerajaan akan membuat beberapa keputusan penting yang akan membentuk masa depan ekosistem keselamatan siber negara.
Selain itu, kata Fadillah, CyberSecurity Malaysia akan diletakkan di bawah NACSA bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan mana-mana agensi lain.
Bagaimanapun, katanya, untuk membentuk masa depan digital yang selamat, adalah penting untuk mengutamakan keselamatan siber.
“Adalah penting untuk memupuk budaya keselamatan siber di seluruh negara, mewujudkan dan mengekalkan sistem, aplikasi dan infrastruktur yang selamat serta mengenal pasti potensi ancaman.
“Kita juga perlu menyedari bahawa langkah perlindungan perlu diseimbangkan dengan kemudahan penggunaan. Selain itu, langkah pemantauan dan pengesanan adalah penting, privasi perlu dipelihara,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau menyifatkan tiada dasar keselamatan siber negara boleh digubal dan dilaksanakan dengan jayanya tanpa pendekatan kolaboratif antara kerajaan dan semua pemegang taruh. – UTUSAN










