Mukadimah
Amanah dikatakan menjadi tonggak pembawaan Islam progresif untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kedudukannya sebagai kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Bersama Wartawan, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Pengerusi Amanah Selangor, IZHAM HASHIM mengupas kekuatan dan signifikan partinya di negeri ini.
Amanah Selangor mahu pertahankan lapan kerusi dimenangi pada PRN kali ini, adakah akan ada pertambahan kerusi dan apakah signifikannya?
Amanah dahulu bertanding 10, kita menang cuma lapan, jadi kita setakat ini ada sembilan kerusi (diberikan), asas kepada pembahagiannya adalah mesti menang. Apa-apa pun kita buat dalam perbincangan bersama PH dan BN, tidak buat keputusan secara unilateral.
Memang pun parti mana-mana hendak kerusi banyak, tetapi kita tengok realiti semasa yang mana kita ada perkongsian.
Bagaimana Amanah memastikan isu-isu peringkat Persekutuan seperti pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup diurus dan disampaikan kepada masyarakat?
PRN Selangor, semua sedia maklum di negeri ini tidak pernah putus sejak 2008 lagi program berterusan kerajaan negeri kita fokus kepada perkara asas kestabilan, kemakmuran dan kebajikan rakyat.
Rekod tahun lalu, 25.5 peratus sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) naik daripada 24.8 pada tahun sebelumnya. Jadi itu menunjukkan bila politik stabil dan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada ekonomi dan rakyat, hasilnya dikembalikan kepada rakyat.
Pengundi muda, dewasa atau warga emas, di mana sebenarnya kekuatan Amanah Selangor?
Kita adalah dalam PH bersama-sama dan kekuatan kita, Amanah adalah membawa pendekatan Islam ataupun Madani pada hari ini sesuai, kita membawa Islam yang sederhana dan meletakkan kepentingan negara, perpaduan rakyat dan kepedulian terhadap mereka, itu kekuatan kita.
Bagi memastikan Amanah sebagai parti relevan, berapa peratus muka baharu dan pemimpin muda akan menjadi calon dalam PRN Selangor?
Tentulah aset paling penting adalah pimpinan dan ahlinya, kita sentiasa ada proses grooming, membina kekuatan dan memberi ruang kepada ahli dan pimpinan di semua peringkat, tidak semestinya wakil rakyat sahaja, dalam apa juga lantikan politik tak kira jantina dan umur. Itu kita gandingkan.
Saya rasa Amanah di Selangor, dalam sembilan (kawasan), majoriti muka baharu yang kita akan bawa, maknanya tak pernah bertanding dalam pilihan raya, incumbent tak ramai, tetapi akhirnya keputusan akan ditentukan oleh Presiden.
Bagaimana kekuatan ahli, jentera dan persediaannya untuk berdepan PRN Selangor?
Ahli Amanah Selangor ada lebih 30,000 orang. Kita sudah menggerakkan Jentera Operasi Negeri (JON) lama, kita turun ke semua tempat dan berkali-kali untuk melihat prestasi dan gerak kerja. Sebab kena lihat kekuatan parti dan dari segi khidmatnya sepanjang lima tahun bukan bermusim. – UTUSAN











