‘Kenapa kami tidak mahu pulang’

‘Kenapa kami tidak mahu pulang’

Laporan Utusan Malaysia 10 Julai 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Budaya kerja yang mementingkan hierarki dan kekananan yang diamalkan di negara ini antara punca ramai tenaga mahir Malaysia berhijrah ke luar negara,” kata seorang Pengarah Perubatan Kanan sebuah syarikat bioteknologi dan farmaseutikal yang berpangkalan di Eropah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak jati Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Fairuz itu berkata, budaya kerja terbuka diamalkan di Eropah membolehkan sesiapa sahaja berpeluang berjaya dan dinaikkan pangkat berdasarkan kemahiran, bakat dan perkembangan individu.

Selain itu, gaji tidak setimpal dengan bakat dan kemahiran menyebabkan ramai pekerja mahir lebih mengutamakan berkhidmat di luar negara berbanding negara sendiri.

Tanpa memburukkan mana-mana pihak, beliau berkata, budaya kerja di Malaysia lebih bersifat hierarki yang mana pengalaman dan kekananan menjadi faktor utama untuk memperoleh kenaikan contohnya pangkat dan lain-lain membantutkan perkembangan karier seseorang individu ter­utamanya dalam bidang profesional.

“Budaya kerja terbuka se­perti di Eropah itu amat terhad di Malaysia. Malah kebanyakan industri masih mengamalkan budaya bersifat hierarki dan kekananan untuk berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Fairuz, faktor gaji bukanlah halangan utama untuk dirinya kembali berkhidmat di negara sebaliknya beliau bersedia pulang ke tanah air.

“Bagi saya tawaran gaji yang lumayan bukanlah faktor utama. Jika ada peluang baik, terbuka saya sedia kembali ke tanah air dan memberikan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, bidang yang saya ceburi ini belum ada di negara sebaliknya Singapura menjadi hab bioteknologi dan farmaseutikal di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Tadbir Urus Data di Victoria, Priya Maniam berkata, walaupun siswazah baharu mema­suki alam pekerjaan, mereka tidak mampu menanggung kos sara hidup sendiri di negara ini.

Beliau yang kini menetap di Victoria, Australia sejak sembilan tahun lalu berkata, berbeza di negara berkenaan, gaji yang diterima dapat menampung keluarga di Malaysia apatah lagi pertukaran mata wang memberi kelebihan untuk beliau menyara keluarga.

“Saya mahukan lebih ba­nyak pendedahan kepada kehidupan di luar Malaysia, pendidikan sekular dan peluang kerja yang lebih adil tanpa diskriminasi umur, bangsa, agama, bahasa yang dituturkan.

“Apatah lagi soal gaji lebih baik yang mana semua pekerjaan dibayar melebihi gaji mini­mum supaya ia selaras dengan kos sara hidup, kerjaya yang mudah diakses dan telus selain peluang kenaikan pangkat serta keseimbangan kehidupan kerja lebih diutamakan di sini,” katanya

Memberikan pandangan berbeza, jurutera kanan syarikat perisian gergasi dunia berpangkalan di Amerika Syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul Ariff berkata, selain faktor gaji, punca utama beliau tidak dapat untuk berkhidmat di tanah air adalah disebabkan bidang diceburi­nya masih terkebelakang di Malaysia.

Beliau yang sudah lebih 14 tahun berkhidmat di syarikat perisian tersebut adalah seorang daripada jurutera dalam bidang semi-konduktor.

“Bidang ini tak banyak peluang di Malaysia sebaliknya mempunyai pasaran amat luas di Amerika Syarikat, Eropah, China dan juga Taiwan.

“Itu antara sebab mengapa sehingga kini saya masih berada di sini bahkan terpaksa membawa anak dan isteri berhijrah. Jika bidang ini terbuka luas di negara sudah pasti saya bersedia pulang ke tanah air,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa hanya dua peratus atau 6,368 orang daripada lebih 500,000 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara menyertai Program Kepulangan Pakar yang dilancarkan hampir 12 tahun lalu.

Berdasarkan statistik, Si­ngapura muncul negara paling ramai pakar dari Malaysia yang dianggarkan sekitar 200,000 orang diikuti Australia de­ngan 138,363 orang, Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang), selain sekitar 10,000 pakar di beberapa negara berpendapatan tinggi seperti New Zealand, Brunei, China dan Taiwan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×