Universiti awam perkasa program pengajian

Universiti awam perkasa program pengajian

SEMUA universiti awam sentiasa mengemas kini kurikulum mereka bagi memastikan kebolehpasaran graduan masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA) tidak akan menggugurkan program pengajian yang tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan, sebaliknya mengambil insiatif memperkasa dan menjenamakan semula program tersebut.

Nilai tambah termasuk menyuntik elemen kecerdasan buatan (AI), keusahawanan dan komunikasi dimasukkan ke dalam silibus pengajian supaya kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan.

Naib canselor beberapa IPTA memberitahu, universiti tidak akan sewenang-wenangnya ti­­­dak menawarkan atau menggugurkan program sedia ada.

SYARAT

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, universiti itu yang menawarkan 520 program pengajian sentiasa menyemak kurikulumnya menerusi Indeks Daya Saing Program Akademik (IDSPA) bagi memastikannya memenuhi syarat ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kami menggunakan sistem ini untuk melihat indikator sama ada sesuatu program itu secara amnya masih popular, boleh dipasarkan atau sebaliknya. Jadi, kalau tiada permintaan dari segi industri, memang program itu tidak ditawarkan untuk pelajar.

“Tetapi, perlu diingat ‘tidak ditawarkan’ tidak bermaksud program ini dibekukan kerana prosesnya juga berlainan. Kami lebih kepada penjenamaan semula program jika industri berpendapat ia mempunyai elemen berasaskan pekerjaan.

“Contohnya, silibus se­perti kecerdasan buatan (AI) dan robotik kami serap dalam program-program pengajian tetapi akan dipastikan ia menepati kehendak MQA apabila semakan kurikulum dilaksanakan,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, pihaknya juga tidak menggugurkan program pengajian sama ada melibatkan aliran sains tulen atau sains sosial, sebaliknya kajian semula dilakukan setiap tiga tahun.

LATIHAN

Katanya, bagi memastikan kebolehpasaran graduan berterusan, USM mewajibkan semua penuntut menjalani latihan industri sebagai pendedahan awal supaya mereka dapat menyesuaikan diri dalam situasi pekerjaan sebenar.

“Macam program asas matematik, sekarang program ini lebih fokus kepada data sains dan analitik. Kami mendapat respons industri dalam program tertentu.

“Ini bermaksud, program tersebut mereka memang mahu. Permintaan bagi program perniagaan dan pe­ngurusan juga banyak. Jadi, memang tiada kursus yang dimansuh,” katanya sambil memberitahu USM menawarkan 67 program bagi ijazah pertama.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, pihaknya akan sentiasa menambah baik 81 program ijazah pertama yang ditawarkan dan mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh.

“Kami tidak menggunakan pendekatan menghentikan ta­waran program akademik, tetapi lebih kepada penambahbaikan dari segi kandungan dan kaedah penyampaian mengambil kira permintaan terhadap bidang yang semakin menurun dan cadangan menaik taraf.

“Kami akan sentiasa melibatkan semua pihak berkepen­tingan termasuk industri, komuniti dan agensi kerajaan untuk menambah baik program berkaitan sains sosial, sastera, sains dan teknologi. Ini penting supaya kursus ini tidak ketinggalan zaman.

“UPM juga menggunakan tinjauan pasaran kerja dan bukan menutup sewenang­nya sesuatu kursus kerana ia seharusnya dilihat dari segi kepentingan terhadap penerusan bidang ilmu yang membantu melahirkan anak bangsa Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×