Persoalan kecekapan Kabinet dan prestasi semasa

Persoalan kecekapan Kabinet dan prestasi semasa

BANYAK diperkatakan tentang prestasi utama negara masa kini dan ia pantas dikaitkan dengan kecekapan pentadbiran kerajaan semasa. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK diperkatakan tentang prestasi utama negara masa kini dan ia pantas dikaitkan dengan kecekapan pentadbiran kerajaan semasa. Untuk memahami dimensi cabaran kepimpinan semasa, kita harus memahami jurang cabaran harus ditempuh sebelum terus terjun kepada konklusi yang mengaitkannya hanya kepada persoalan kecekapan semata-mata.

Lebih buruk lagi apabila persoalan kecekapan dikaitkan pula dengan kecenderungan watak anggota Kabinet yang diumpamakan mirip sebagai seorang selebriti. Dengan menuding kepada insiden kecil dan sisipan seperti menunggang basikal di dalam kantor, ia tidaklah sama sekali menjadi asbab kepada kelembapan ekonomi negara seluruhnya.

Merumuskan insiden kecil kepada maslahat besar negara adalah sebuah konklusi cetek dan tidak bertanggungjawab. Ia lebih buruk jika natijah akhirnya adalah untuk mempersoalkan keabsahan sebuah pentadbiran yang diangkat secara qath’i (pasti) oleh rakyat melalui proses berdaulat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan madani ini komited untuk mengembalikan maruah negara yang tercalar semenjak kredibilitinya dienjak sepanjang tempoh darurat dengan alasan yang tidak-tidak sebagai menafikan sidang Parlimen. Apa yang lebih buruk adalah penutupan itu rupa-rupanya merupakan helah demi menutup bangkai salah laku yang akhirnya terbongkar selepas kerajaan sebelumnya tersungkur melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bukanlah suatu yang aneh jika seorang pemimpin membuat penyesuaian kepada prinsip perjuangannya. Malah inilah kali pertama dalam sejarah politik Malaysia yang panjang, kerajaan perpaduan dibentuk atas titah istana. Anomali ini memerlukan kepada kebijaksanaan, umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.

Bukan juga satu kejanggalan apabila seorang pemimpin mengubah kompas haluannya apakala berdepan cabaran dalam perjalanan menuju destinasi.

Dalam Perang Dunia Kedua, insiden serangan hendap oleh tentera Jerman di Luxemborg dan Belgium mengejutkan persiapan tentera bersekutu dipimpin Jeneral Ensenhower. Pada awalnya Eisenhower mengangap pertempuran Bulge pada Disember 1944 itu sebagai satu keputusan pragmatik sehinggalah beliau menerima dan melihat sendiri tentangan mendadak serta ofensif daripada Jerman. Ia merupakan kejutan yang memerlukan penyesuaian strategi dan taktikal setelah memperhitungkan realiti sebenar di lapangan.

Analogi Battle of the Bulge adalah senario masa kini kepada kerajaan madani. Sebelum memasuki pejabat Perdana Menteri, secara teorinya semua yang ingin dilakukan merupakan keputusan pragmatik dibuat berdasarkan realiti yang zahir pada pengamatan awam. Namun hakikatnya, sejurus memasuki kantor Putrajaya, maka mulalah menampakkan lohong besar ditinggalkan oleh kepimpinan terdahulu. Ia merupakan momen yang membuka paradigma baharu kepada seorang pemimpin. Pilihannya adalah mengambil keputusan yang populis atau menggigit tanggungjawab penuh amanah.

Tentu sahaja keputusan populis seperti mengizinkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meredam keresahan awam dan menutup kritik buat seketika. Tentu sahaja kenaikan tarif boleh dikekang. Tentu sahaja suguhan tunai boleh dikembangkan dari kantung hutang negara. Tetapi untuk natijah apa?

AZIZAH

Sepanjang tujuh bulan mentadbir, suara pembangkang hanya mampu menuding insiden dan momen santai yang lumrah seperti berbasikal di kantor, menyanyi lagu Azizah, kunjungan ke segenap pelosok negara menyantuni pelbagai lapisan. Seriuskah pembangkang menjadi penyemak dan imbang dalam memperbaiki kebejatan semasa? Apa idea solusi untuk mengukuhkan ringgit? Apa solusi untuk mengekang kenaikan harga barang akibat inflasi global?

Redakah semua masalah itu dengan hanya menuding insiden-insiden kecil yang menunjukkan sisi manusiawi seorang menteri? Atau pembangkang kekal dengan kelohongannya yang mengakar selama lebih 30 bulan berkuasa?

Berbasikal di kantor yang diulang-ulang konon tidak serius padahal ia lelucon yang menggambarkan watak seorang menteri yang santai dan approachable, berbanding sosok dahulunya Perdana Menteri yang sombong bersembunyi di sebalik meja dan kerusi dewan Parlimen yang mulia. Berbasikal di kantor itu bukan penyebab kejatuhan ringgit.

Ia tidaklah lebih buruk berbanding dahulunya anggota Kabinet bercuti panjang untuk merampingkan badan dan kemudiannya memperagakan fesyen-fesyen yang baru sahaja muat selama berjam-jam untuk sesi foto yang tiada faedah sama sekali. Sekurang-kurangnya, menteri komunikasi ini hanya merakamkan apresiasi dan memori petugas pos yang kini di bawah portfolionya, tidak lebih daripada itu. Warganet memetiknya sebagai lelucon dan mime. Tiada langsung penyimpangan tugas hakikinya.

Sudah dijelaskan kompleksiti asbab kejatuhan ringgit dan turun menjunam merupakan mata wang lain, malah terburuk di Asia adalah yen. Ia merupakan fenomena global, bukan hanya unik kepada ringgit.

Benar, krisis berganda ini sedang melanda Malaysia – ringgit, inflasi, kos sara hidup. Ia cabaran struktural, maka perlu ditangani secara struktural juga. Struktur mengambil masa. Masalah struktural yang gagal ditangani dalam tempoh kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih 30 bulan terdahulu tiba-tiba sahaja cuba digesakan hanya dalam tempoh tujuh bulan adalah dangkal dan tidak masuk akal. Malah kerajaan madani ini teguh memegang prinsip agar penggal pentadbiran dilengkapkan. Sebarang kenyataan yang cuba menggambarkan sebaliknya adalah berniat jahat.

Apakah tiada sama sekali kemungkinan memang wujudnya sabotaj sistematik oleh pihak yang tergugat dengan agenda reformasi yang cuba dibawakan oleh Perdana Menteri ke-10? Apakah tiada kemungkinan itu menjelaskan hakikat krisis berganda yang sedang dihadapi negara kini? Bagaimana kita menjelaskan indeks positif yang banyak berbanding prestasi ringgit serta bursa jika tiadanya anomali dalam perlakuan pasaran dalam dan luar negara kini?

Kita mungkin bakal menyaksikan semakin banyak bukti tentang sabotaj ini nanti apakala beberapa kes berprofil tinggi mula dibicarakan. Tidak mustahil juga jika serangan subversif akan semakin memuncak demi membina persepsi lebih buruk daripada apa yang dapat kita saksikan kini.

Berbalik kepada episod Battle of The Bulge, berkat kecekapan dan ketajaman taktikal Eisenhower maka pertempuran itu akhirnya memihak kepada pihak bersekutu.

Sebagai rakyat yang sayangkan negara ini, sewajarnya kita mendoakan agar reformasi ini bakal membawa natijah yang sama dan bukan mengulas isu negara umpama sembang kedai kopi hanya untuk melampiaskan amarah atau sokongan sempit politik partisan. – UTUSAN

PENULIS ialah bekas pengamal media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×