Mukadimah
CABARAN dalam memelihara kebajikan rakyat pada tempoh pandemik Covid-19 suatu yang sukar. Namun perlu diatasi sebaik mungkin oleh Prasarana – sebuah syarikat yang menyediakan pengangkutan untuk orang awam khususnya golongan B40.
Meskipun merupakan syarikat dibiayai kerajaan, namun Prasarana tidak terlepas daripada mengalami kerugian hampir RM800 juta sejak Mac 2020.
Dengan kos operasi bulanan menelan belanja RM200 juta khususnya bagi mengoperasikan perkhidmatan tren dan bas, Prasarana tetap perlu meneruskan tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.
Berikut temu bual wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan ASLINDA NASIR serta jurugambar, AMIR KHALID dengan Pengerusi Prasarana, DATUK SERI TAJUDDIN ABDUL RAHMAN di Ibu Pejabat Prasarana di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengapa Prasarana penting kepada rakyat Malaysia?
TAJUDDIN: Prasarana ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyediakan kemudahan awam kepada orang ramai. Ini tanggungjawab kerajaan dari dulu untuk membantu terutama kepada mereka berpendapatan rendah. Sebab itu tambang yang dikenakan pun pada kadar begitu rendah sekali.
Umpamanya hari ini kita ada MY30 (kad LRT), kita boleh pergi mana-mana. Dikatakan RM30 boleh tahan sebulan, bermakna sehari RM1 sahaja. Ini bukan syarikat buat untung. Prasarana, syarikat milik kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Sejak PKP 18 Mac 2020, jumlah penumpang terjejaskah?
Sebelum Covid-19, hampir 1.2 juta penumpang gunakan perkhidmatan tren sehari. Perkhidmatan bas juga kami sediakan, dengan kakitangan keseluruhan seramai 9,200 orang. Pemandu bas pula seramai 3,900 orang. Juga ada kakitangan dari segi teknikal, pengurusan, kawal selia dan sebagainya.
Semasa tempoh Covid-19 ini, penumpang berkurangan. Lebih daripada separuh iaitu dalam 30 peratus sahaja penumpang gunakan kemudahan awam sehari. Kalau ikut yang terkini, untuk Ampang Line LRT hanya 67,000 penumpang, Kelana Jaya (70,000), untuk MRT pula 33,000 dan monorel 11,000. Jumlah keseluruhan adalah 180,000 penumpang sehari. Bagi bas pula, sekarang kita bawa 140,000 sahaja.
Jika sebelum Covid-19, sepatutnya boleh peroleh 1.2 juta penumpang setiap hari. Ini bermakna sebulan hampir 30 juta penumpang susut daripada jumlah itu. Lagi teruk menanggung kos operasi.
Bagaimana dengan anggaran susut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Kos operasi Prasarana adalah RM200 juta sebulan. Tetapi kami tak mahu lihat dari segi kewangan kerana Prasarana tidak berorientasikan keuntungan. Kalau hendak dikira dari segi untung rugi, Prasarana tidak boleh terus beroperasi. Jadi, kerajaan terpaksa menanggung kos operasi dan kos modal yang tinggi.
Dengan Prasarana dilaporkan mengalami kerugian sehingga RM800 juta, apa tindakan kerajaan?
Kerajaan setakat ini terus membiayai, menjadi sumber kewangan kerana ini untuk kepentingan rakyat dan ini bukan syarikat mengaut keuntungan.
Kebajikan untuk 9,200 kakitangan Prasarana pula bagaimana?
Mereka masih dibayar gaji dan tidak dibuang kerja. Maksudnya kita boleh bertahan lagilah, sebab dibiayai kerajaan. Cuma pengurusan mengambil langkah-langkah mengurangkan trip, seperti bas pun kita kurangkan operasinya. Begitu juga tren. Kalau sebelum Covid-19, setiap 20 minit ada sahaja tren dan bas. Tapi sekarang kami lihat dari segi mengurangkan kos operasi itu.
Perancangan Prasarana pada tahun ini dan akan datang?
Prasarana memiliki projek dalam pelaksanaan dan menambah lagi perkhidmatan ini, dengan andaian masalah Covid-19 akan berakhir, ekonomi akan pulih. Kami takkan berhenti. Kami ada LRT 3 yang sekarang dalam proses pembinaan, iaitu projek yang bernilai RM11 bilion.
Kemudian, bas-bas yang sudah lama diganti bas baharu. Pada hari ini pun kami sedang menghadapi kapasiti berlebihan kerana jumlah penumpang tinggal 30 peratus sahaja. Baki 70 peratus lagi adalah kapasiti berlebihan di waktu Covid-19.
Selain itu, kami ada MRT 2, ia dalam proses dibangunkan oleh MRT Corporation. Mengikut Menteri Kewangan, ia sudah diluluskan untuk dilaksanakan. MRT merupakan syarikat yang berasingan dengan Prasarana. Prasarana merupakan syarikat yang memiliki LRT, monorel, bas, tetapi MRT merupakan GLC yang berperanan untuk membangunkan tren sendiri iaitu mass rapid transit. Tetapi pengendaliannya diserahkan kepada Prasarana. Ini bermakna Prasarana merupakan operator kepada MRT dan MRT Corporation merupakan asset owner.
Selain itu, Prasarana juga akan menjalankan pembinaan MRT Putrajaya Line pada Julai 2021 dan 2023 untuk fasa kedua. Dan pada 2024 kami akan mulakan operasi LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia.
Projek pertama, terakhir di Mekah?
Bercakap mengenai Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi, mengapa Prasarana mengalami kerugian hampir RM500 juta?
Kami sudah buat kajian dan penyiasatan dalaman oleh pihak legal council serta forensik. Daripada laporan itu telah dibentangkan kepada audit and risk committee Prasarana yang dianggotai beberapa orang board member tentang projek Prasarana sebagai operator tren di Mekah itu.
Laporan menunjukkan terdapat kerugian yang dibentangkan bahagian kewangan 2019, iaitu hampir RM500 juta. Ia menunjukkan kelemahan dari segi pengurusan sebagai operator dan juga menyediakan penyelenggaraan pada tren itu di mana Prasarana tubuhkan satu kumpulan di Mekah. Namun, terdapat unsur-unsur ketidakcekapan. Setiap tahun ada sahaja pengurangan bayaran.
Tahun pertama claim dapat 65 peratus kepada MRTA. Di tahun kedua, ada penambahbaikan dapat 85 peratus. Memang ada tambah baik selama jalankan operasi tetapi Prasarana tidak pernah mendapat 100 peratus.
Selain itu, ia menunjukkan projek tersebut tidak dapat kelulusan yang sepatutnya daripada pihak berkuasa dalam syarikat. Kelulusan lembaga pengarah tak jelas, proses membida pun ada menunjukkan perkara yang tidak betul. Ada syarikat di Mekah yang menjadi ejen, orang tengah serta mendapat untung beratus juta. Bagaimana ejen itu dilantik, apa peranannya serta berapa banyak komisennya? Ini semua tanda-tanda yang menunjukkan seolah-olah ada penyelewengan.
Dari segi pembayaran kepada subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja di sana, Prasarana masih ada berhutang lagi. Anggaran dalam RM50 juta.
Bila keuntungan tak dapat, kos pula melambung naik disebabkan tadbir urus tidak cekap serta ada penyelewengan dari segi pengurusan, maka itulah punca kepada kerugian. Kami tak mahu teruskan (projek) sebab Prasarana sudah rugi. Untuk apa teruskan?
Sebab kesimpulannya, ibarat kami ini kontraktor yang menjalankan operasi di syarikat itu, Prasarana sepatutnya buat duit daripada projek itu, tetapi kita rugi. Ejen yang membantu kami mendapatkan projek tersebut untung lebih banyak daripada Prasarana. Macam mana boleh jadi begitu hingga Prasarana rugi?
Setakat ini, kami sudah serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia ( SSM). Terpulang kepada mereka untuk menyiasat sama ada terdapat penyelewengan atau salah guna kuasa yang berlaku.
Jadi, adakah ia projek pertama dan terakhir Prasarana di Mekah?
Kami cukup dukacita sebab sepatutnya Prasarana waktu itu mengambil kesempatan untuk tonjolkan nama baik Prasarana dan Malaysia di mana kita mampu dan berkebolehan menjalankan operasi perkhidmatan awam di luar, menjadi perhatian dunia. Kita nak naikkan imej negara ini, rakyat kita, profesion kita. Tetapi bila berlaku perkara seperti itu, maka malanglah untuk kita.
Kepercayaan di pihak luar seolah-olah kita tidak mampu, kita harapkan nak tunjukkan kepakaran kita sebagai syarikat kemudahan awam yang bertaraf antarabangsa. Malangnya benda ini berlaku disebabkan tadbir urus yang tak betul. Kerugian Prasarana di sini bukan sahaja duit, tetapi imej, nama baik dan keyakinan. Kalau orang tak yakin dengan kita lagi, macam mana?
Apa perkembangan projek LRT3?
Kerja-kerja masih berjalan, tiada masalah. Masalah nak bayar subkontraktor mereka, itu mereka punya urusan. Baru-baru ini ada isu pasal beberapa subkontraktor kepada kontraktor utama iaitu MRCB George Kent Sdn. Bhd. (MRCBGK). Dari segi hubungan kami ialah dengan MRCBGK sahaja kerana mereka telah dilantik sebagai turnkey kontraktor, mereka bertanggungjawab menyiapkan dengan kos dipersetujui bersama.
Jadi, mereka nak buat kerja dengan melantik subkontraktor, itu antara mereka. Kalau tak dapat bayaran daripada MRCBGK, janganlah jumpa dengan Prasarana. Masalahnya mereka halakan subkontraktor itu kepada Prasarana. Jadi, MRCBGK yang tidak membayar kepada mereka dan dituduh Prasarana tidak membayar kepada MRCBGK. Maka kami dituduh menahan bayaran jumlah dikatakan RM700 juta, itu tuduhan mereka. Tetapi kena ingat, kami buat bayaran kepada MRCBGK, bukan kepada subkontraktor ini. Kalau ada masalah kewangan membayar mereka, itu masalah MRCBGK.
Tetapi apa yang saya tengok, mereka ini kekurangan modal. Mereka dapat kerja berbilion tapi tak cukup modal dan mengharapkan daripada Prasarana untuk dijadikan modal mereka. Kalau mereka kurang modal untuk lancarkan kerja-kerja mereka dengan subkontraktor itu, ia bukan tanggungjawab kami. Itu sebab kalau buat aduan di mana-mana, dengan membuat surat kepada menteri itu, menteri ini, itu masalah MRCBGK.










