Kejadian berlaku pantas, air sungai naik lebih 5 meter

Kejadian berlaku pantas, air sungai naik lebih 5 meter

Anggota mencari dan menyelamat meneruskan pencarian empat lagi mangsa yang hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Fenomena kepala air yang berlaku di Jeram Mawar, Air Putih, kelmarin, dipercayai menyebabkan peningkatan air sungai yang mendadak setinggi lebih lima meter.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan kesan air dan lumpur yang dilihat di lokasi kejadian, pihaknya percaya kejadian berlaku pantas menyebabkan 10 mangsa yang berada di lokasi kejadian berkemungkinan tidak sempat menyelamatkan diri.

“Kita percaya kejadian berlaku sekitar pukul 5 hingga 6 petang Sabtu lalu yang mana ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai sedang leka mandi di kawasan jeram tersebut dan air mendadak naik dengan laju.

“Daripada kesan yang dilihat, kita percaya air meningkat mendadak dengan agak tinggi sehingga lima hingga 10 meter,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Hanyan berkata, kereta jenis Proton Gen2 dan motosikal SYM dipercayai milik mangsa ditemukan dalam lumpur di tempat kejadian selepas air surut.

“Selain itu, kita turut menemukan barang peribadi mangsa termasuk pakaian, selipar, makanan dan topi keledar di dalam kereta tersebut,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan kekuatan 50 anggota dari pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam disambung kira-kira pukul 8 pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×