SEREMBAN: Seramai 2,000 belia berkemahiran Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dihantar ke China menjelang suku pertama tahun hadapan bagi menjalani latihan dalam pelbagai bidang di kolej universiti negara berkenaan.
Usaha itu dibuat menerusi program Malaysia-China Youth TVET Training di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) kerajaan China.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, semua belia dari seluruh negara itu akan menjalani latihan kemahiran yang didapati menjadi keperluan mendesak pihak industri negara ini.
“Sehingga penghujung tahun ini seramai 500 orang belia seluruh negara dari pelbagai bidang, antaranya kawalan kualiti, elektrik dan elektronik, automotif, semikonduktor, acuan dan multimedia akan dihantar ke China.
“Menjelang suku pertama 2024, disasarkan seramai 2,000 orang akan dihantar ke kolej dan universiti terpilih di sana bagi menjalani latihan-latihan kemahiran tersebut.
Selain belajar bagi peningkatan kemahiran pada masa sama mereka akan dibimbing oleh pakar dalam industri yang berada dalam universiti berkenaan.
“Kesemua bidang kemahiran-kemahiran ini merupakan keperluan mendesak dan menjadi bidang yang sentiasa jadi tekanan kepada kerajaan dan industri ekoran kekurangan kemahiran dan kekurangan tenaga kerja dalam bidang berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Projek Belia Mahir berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelepasan Peserta Malaysia-China Youth TVET Training di sini semalam.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.
Pada majlis berkenaan seramai 20 orang belia berkemahiran terdiri dari pelatih dan tenaga pengajar dari Gemilang Motor Academy di sini akan menjalani latihan asas selama dua minggu mengenai teknologi kenderaan elektrik (EV) oleh pakar industri teknologi itu di Tangshan Polytechnic College, Beijing, China.
Sementara itu, Adam Adli berkata, program berkenaan merupakan antara langkah untuk mengembangkan lagi bidang TVET di negara ini.
“TVET ini bidangnya dinamik, kemahirannya perlu sentiasa ditingkatkan, ini adalah peluang yang cukup baik, ia menjadi pembuka ruang kepada lebih banyak inisiatif selepas ini.
“Kita akan pastikan bahawa pelatih-pelatih ini bukan hanya dapat bekerja, peluang belajar malah dapat peluang untuk kembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
“Saya juga berharap lebih banyak pihak terutamanya korporat untuk lebih melihat belia-belia kita yang terlibat dalam TVET ini, berikan mereka pendedahan yang lebih banyak untuk kita pacu bidang ini,” katanya. – UTUSAN











