BARU-BARU ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan berhubung berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, kerajaan menerusi sebuah jawatankuasa khas bekerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk PDRM dan penyedia platform media sosial sejak Disember lalu untuk menangani kenyataan tidak bertanggungjawab.
Langkah kerajaan itu sudah tentu mengambil pengajaran daripada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan pihak pentadbir platform perkongsian video sosial popular, TikTok menyekat 2,113 kandungan sepanjang tempoh kempen itu kerana melanggar garis panduan komuniti termasuk berbaur provokatif.
Dalam pada itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dalam Laporan Inisiatif Pemantauan Media Sosial CIJ Memantau Tahap Keparahan Ucapan Kebencian Semasa PRU15 mendedahkan, pemimpin Pas adalah antara individu utama yang menyebar luas naratif bersifat kebencian, tidak boleh bertolak ansur, rasis dan memecah-belahkan.
Pas dikatakan melontar tuduhan berterusan terhadap sebuah parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk mendakwa sebagai pendukung amalan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks (LGBTIQ).
CIJ juga berkata, ada pemimpin PH turut membuat kenyataan berunsur kebencian dengan mendakwa undi kepada Perikatan Nasional (PN) ‘sama seperti memilih Taliban’ untuk memerintah negara.
Para pemantau CIJ mengkaji sebanyak 52,012 siaran media sosial. Naratif berasaskan kaum merangkul carta teratas dengan 32,066 paparan. Ini diikuti agama, 13,338.
Terdapat 5,161 paparan tentang gender dan kelompok berkaitan komuniti LGBTIQ; 2,533 paparan berbaur seksis dan menggunakan istilah menghina gender dan lucah; serta lapan yang berada di peringkat ganas dan menyahmanusiakan.
Sebenarnya sebarang jenis ucapan yang memiliki unsur kebencian serta apa-apa bentuk gangguan terhadap mana-mana pihak perlu dihentikan segera. Ia tidak boleh dibenarkan berlaku di mana-mana sahaja termasuk di alam maya.
Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia akan mudah terdedah dengan risiko ketidakstabilan sekiranya ucapan berunsur kebencian dan gangguan ini dibenarkan berlaku.
Oleh demikian, adalah penting supaya langkah drastik diambil bagi menghentikan mana-mana golongan untuk mengeluarkan perkataan atau ucapan berunsur kebencian serta melakukan sebarang jenis gangguan terhadap mana-mana pihak dalam negara.
Antara langkah boleh diambil adalah melalui proses pendidikan berterusan kepada orang ramai bagi melahirkan kesedaran mengenai bahaya ucapan yang memiliki sebarang unsur kebencian serta kesan negatif gangguan yang dilakukan terhadap orang lain.
PILIH KASIH
Selain itu, kerajaan juga boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan peruntukan undang-undang khusus yang lebih terperinci bagi mengatasi masalah ini. Kita tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya pada undang-undang sedia ada yang dilihat terlalu umum dan tidak terperinci.
Apa yang dimaksudkan dengan ucapan berunsur kebencian dan gangguan ini? Ucapan yang memiliki unsur kebencian dan gangguan ini boleh ditakrifkan sebagai sebarang jenis perkataan ataupun ucapan yang boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain.
Ia boleh dilakukan atas faktor latar belakang mangsa terlibat, perkauman, agama, status kewarganegaraan, warna kulit, fizikal, usia, jantina, orientasi seks dan lain-lain lagi. Ia boleh berlaku secara lisan, penulisan ataupun melalui sebarang jenis tindakan yang boleh mengundang perasaan tidak puas hati daripada orang lain.
Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi moden seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan TikTok, ucapan berunsur kebencian dan gangguan ini juga boleh berlaku secara dalam talian di alam maya.
Ia juga boleh dilakukan sekali-sekala atau secara kerap terhadap diri mangsa. Paling penting, kata-kata atau ucapan yang memiliki unsur kebencian ini serta gangguan dilakukan akan memberi kesan negatif kepada mangsa.
Kerajaan boleh membentuk sebuah jawatankuasa khas dianggotai pakar dan ahli akademik bagi melihat cadangan yang dikemukakan di atas dengan lebih teliti.
Rujukan boleh dilakukan dengan melihat kepada peruntukan undang-undang yang diwujudkan negara lain seperti Harassment Act 1997 di New Zealand dan Protection from Harassment Act 1997 di United Kingdom.
Selain itu, penting juga untuk semua pihak dilindungi dengan seadil-adilnya daripada sebarang kata atau ucapan berunsur kebencian serta gangguan ini. Kita tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih.
Perlindungan daripada sebarang jenis kata atau ucapan berunsur kebencian serta gangguan harus meliputi semua pihak termasu golongan minoriti seperti transgender.
Walaupun transgender tidak diiktiraf di negara ini, tidak bermakna kita boleh mengeluarkan sebarang jenis kata atau ucapan berunsur kebencian terhadap golongan ini ataupun mereka boleh dimalukan dan diganggu sepanjang masa.
Ejekan yang boleh mengundang kebencian seperti mak nyah, pondan, bapok, kunyit, lembik, mat kepit, tomboi, sotong dan sebagainya yang selalu digunakan terhadap golongan transgender perlu dihentikan dan dibendung sepenuhnya kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah mangsa terlibat malah boleh menyebabkan mereka serta ahli keluarga masing-masing menghadapi tekanan mental dan emosi yang serius dan berpanjangan.
Kata-kata yang boleh membawa kebencian ini juga perlu dibendung bagi mengelak perasaan benci terhadap golongan berkenaan menjadi lebih serius sehingga boleh mengancam tahap keselamatan dan nyawa mereka. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).











