Kedudukan Abdul Hadi sebagai wakil rakyat belum selamat

Kedudukan Abdul Hadi sebagai wakil rakyat belum selamat

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang belum lagi selamat meskipun Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatal dan menolak petisyen yang mencabar kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak yang tidak berpuas terhadap keputusan itu boleh memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan selaku badan terakhir dan kemudian memutuskan sama ada menerima atau menolak rayuan tersebut.

“Jika rayuan diterima maka perlu diadakan pilihan raya kecil (PRK), jika sebaliknya penyandang kekal sebagai wakil rakyat. Oleh itu, keputusan ini boleh dirayu terus ke Mahkamah Persekutuan yang akan meneliti keputusan dibuat Mahkamah Pilihan Raya Terengganu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatal dan menolak petisyen yang mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang sekali gus Abdul Hadi kekal sebagai wakil rakyat.

Kerusi tersebut dimenangi Abdul Hadi dengan majoriti 41,729 undi.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memaklumkan UMNO Terengganu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 di parlimen berkenaan.

Petisyen tersebut dibuat mengikut Akta Pilihan Raya 1954 selepas mendakwa Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA

Mohamed Haniff Khatri berkata, sekiranya Mahkamah Rayuan menerima rayuan tersebut maka PRK perlu diadakan ekoran kekosongan luar jangka.

Jelasnya, petisyen pilihan raya termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 yang membolehkan mana-mana pihak untuk mengemukakan rayuan atau bantahan kepada mahkamah pilihan raya sekiranya berlaku keraguan di dalam pilihan raya dan keputusannya.

“Keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah dengan sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab-sebab berikut seperti sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan pilihan raya dan ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya.

“Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon dan ejen-ejen. Calon atau ejennya didapati tidak layak menyertai pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×