Video beri wang boleh jadi bukti mahkamah

Video beri wang boleh jadi bukti mahkamah

Zambri Mohd. Isa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakaman video pemberian wang boleh dijadikan bukti dalam mahkamah bagi mendakwa seseorang itu dengan aktiviti berkaitan politik wang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd. Isa berkata, rakaman video boleh diambil kira dan diterima pakai semasa perbicaraan.

“Dengan syarat semua atau sebahagian yang berkaitan dengan video itu seperti sumber dan saksi dipanggil untuk mengesahkan kejadian. Selepas itu, terpulang kepada hakim untuk buat keputusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas sama ada video boleh dijadikan bukti untuk menuduh individu berkaitan politik wang.

Sebelum ini tular satu video, individu dipercayai seorang ahli Pas di salah sebuah kawasan di Terengganu, menyerahkan wang tunai kepada pengundi selepas mengangkat sumpah mengundi parti terbabit.

Kelmarin, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Namun dalam satu lagi petisyen, Pas mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Marang yang dimenangi oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, kesahihan rakaman video yang dapat dipertikai boleh menjadi antara faktor rakaman itu diterima atau sebaliknya.

“Mungkin keterangan tersebut tidak dapat diperjelas dan mungkin mahkamah menerima bukti dikemukakan pihak yang mendakwa, tetapi menolak menerima bukti tersebut (dalam membuat keputusan).

“Secara asasnya apa yang berlaku di Kuala Terengganu mungkin berlaku sama di Marang, tetapi kita tetap kena lihat dahulu (hujah penghakiman) keputusan yang dibuat oleh hakim semasa perbicaraan sebelum boleh buat apa-apa pandangan” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×