MUDA sedia menang atau kalah PRN

MUDA sedia menang atau kalah PRN

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun mengakui tindakan ‘berperang’ secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) meletakkan parti itu dalam risiko, parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersedia terima sebarang keputusan sama ada menang atau kalah

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, MUDA ingin menjadi wake up call kepada parti kerajaan perpaduan hari ini kerana dilihat terlalu selesa dengan sokongan majoriti 148 ahli Parlimen.

Malah jelas beliau, banyak perkara-perkara asas yang sepatutnya dibuat daripada awal, namun perkara itu tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini, sekali gus MUDA berpendirian untuk terus bertanding secara solo di enam negeri pada PRN nanti.

“Kalau ekonomi itu saya fahamlah ia memerlukan masa yang lama untuk kembali pulih. Tetapi kalau perkara asas pun tidak dibuat sehingga kini, apa maksudnya? MUDA kesal dan cuba berkali-kali untuk berjumpa dan membuat teguran secara tertutup, sudah berbulan-bulan tetapi tiada respons. Biar MUDA buat keputusan kali ini, kita bawa politik baharu.

“Memang saya akui, tidak mudah dan dalam sejarah, yang tidak bersama dengan kerajaan akan kalah, tetapi kita pemimpin MUDA bersedia untuk belajar menang atau kalah. Biar kita melabur masa dan tenaga untuk manfaat 10 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata, keputusan MUDA bertanding solo dicapai secara konsensus dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti selepas mengadakan perbincangan bersama dengan masyarakat dan badan bukan kerajaan, mengenai hala tuju parti.

Bagaimanapun katanya lagi,  MUDA masih belum memuktamadkan calon dan jumlah kerusi yang akan ditandingi, dan ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, MUDA tidak lagi mahu terikat dengan dua blok politik ‘lama’ dan ingin membawa pembaharuan dalam perjuangan untuk mengangkat suara rakyat.

“Malaysia sudah tidak berada di landasan yang betul. Dulu kata lain, tetapi pimpinan hari ini buat lain, rakyat dah mula hilang harapan kepada pemimpin politik. Dulu kata nak banteras habis-habisan, tetapi kes hari ini ditangguhkan berkali-kali. Bukan itu sahaja, kata nak penjarakan perasuah LCS, pun diam juga, nak isytihar aset?

“Kita dah ada tiga Perdana Menteri yang isytihar aset. Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kenapa yang hari ini tidak buat? Apa yang kamu cuba sembunyikan? Kenapa sekarang jadi lain?” soalnya.

Syed Saddiq menambah, antara perkara lain yang membuatkan MUDA tetap dengan pendirian bertanding solo adalah kerana isu keadilan membabitkan pemimpin politik negara, sekali gus menyatakan beliau berasa kecewa dengan langkah kerajaan pada hari ini.

“Tidak ada akta pendanaan politik. Dahulu Perdana Menteri kata tidak perlu ada pemusatan kuasa, tetapi sekarang? Wilayah dan kewangan duduk di bawah individu yang sama. Dulu kata tidak boleh pada Najib Razak. Nak humban Zahid Hamidi masuk penjara, sekarang, isu keadilan di mahkamah ditangguhkan berkali-kali.

“Isu LCS pun dulu siasat sampai lubang cacing, sekarang diam. Tentang isu pengisytiharan aset, maki pemimpin UMNO, sekarang diam pula. Dulu kata UMNO gunakan jawatan GLC untuk diberikan kepada orang yang berkepentingan, tetapi sekarang lagi banyak jawatan GLC yang ada.

“Dalam bab ini, rakyat sudah bijak untuk menilai,” ujarnya.

Ditanya sama ada terdapat pemimpin Kerajaan Perpaduan yang berjumpa dengannya selepas pengumuman dibuat, Syed Saddiq enggan mengulas.

“Dalam bab ini, komunikasi secara peribadi tidak perlu didedahkan, kita dah cuba berkali-kali sebelum pengumuman, jangan hanya selepas pengumuman baru ada signal yang lain pula.

“Kalau betul nak perubahan, niat kena ikhlas. Kita nak cadangkan penambahbaikan, bukan nak jatuhkan kerajaan, itu politik baru yang saya maksudkan,” ujarnya.

Tindakan tersebut sudah pasti menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kerajaan kerana ia akan menyebabkan pertembungan lebih dua penjuru pada PRN nanti.

Kesan daripada itu, seorang pemimpin DAP Selangor mempelawa pimpinan dan ahli MUDA menyertai parti itu jika tidak bersetuju tindakan bertanding pada PRN enam negeri secara solo.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Rajiv Rishyakaran, mendakwa pimpinan MUDA bercanggah pandangan ketika memutuskan sama ada bertanding solo atau kekal bersekutu bersama parti dalam kerajaan perpaduan.

“Saya hormati hak ahli untuk tidak bersetuju, itu demokrasi dalam mana-mana parti dalam negara kita. Cuma saya nak nasihatkan pemimpin DAP yang keluarkan kenyataan itu, mana prinsip tak lantang bersuara melawan rasuah?” soal Syed Saddiq lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×