Pujuk’ lutut sakit daki Gua Hira’

Pujuk’ lutut sakit daki Gua Hira’

PENULIS dan rakan-rakan media merakamkan kenangan ketika berada di pintu Gua Hira’ pada awal pagi, 1 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KALAU sampai Gua Hira’ nanti, kau akan nampak satu lubang kecil yang nampak terus ke Kaabah. Itulah petanda Nabi SAW gunakan untuk solat ketika ber’uzlah.” Alasan inilah yang saya gunakan untuk ‘memujuk’ lutut kiri yang sakit supaya terus kuat berjalan agar boleh melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di gua yang menjadi lokasi penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW.

Memanjat bukit setinggi 642 meter pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) pada 1 Jun lalu benar-benar menguji mental dan fizikal. Walaupun saya pernah mendaki Gunung Kinabalu dan Gunung Ledang yang jauh lebih tinggi dan susah, Jabal Nur mempunyai cabarannya tersendiri kerana laluannya dipenuhi batuan tajam selain menegak.

Kalau mendaki waktu siang lebih mencabar kerana gunung itu langsung tiada pokok untuk berlindung daripada panas matahari. Apa yang ada hanyalah pondok buatan malim gunung warga Pakistan menjual cenderahati dan minuman.

Gua Hira’ sering dikunjungi orang ramai. Jika dapat naik dan sampai di puncak, kita akan kelam kabut untuk solat sunat kerana tertekan dengan orang belakang yang juga tidak sabar berbuat demikian. Bagaimanapun, rezeki kami kerana pada awal pagi itu langsung tiada jemaah mendaki.

“Ini peluang baik untuk dapat duduk di Gua Hira’ lama sedikit. Selalunya di sini ramai jemaah. Untung naik ketika waktu sahur,” kata staf TV AlHijrah, Muhammad Sadiq Hakim Azman.

Peluang itu digunakan untuk terus mendaki secara berkumpulan sehinggalah berpecah dengan masing-masing mengikut keupayaan diri sebaik masuk sepertiga perjalanan. Keadaan muka bumi menegak dan langsung tiada denai yang landai menambah ‘sengsara’ pendaki hingga ada hampir menyerah walaupun baru separuh perjalanan.

Manakan tidak, tanpa latihan dan senaman pemanas badan, sudah tentu membuatkan pendaki ‘pancit.’ Namun, disebabkan semangat hendak berada di lokasi berkat, akhirnya semua berjaya tiba di puncak dan menikmati pemandangan yang hebat di sekitar Mekah.

Kami lihat betapa Masjidilharam bermandikan cahaya, kelihatan seperti berlian berkilauan di atas kain hitam. Di sekeliling gunung itu pula lampu-lampu rumah dan bangunan di sekitar Mekah menambahkan lagi seri malam.

Perkara pertama saya lakukan bila sampai ialah mencari lubang yang dimaksudkan. Rupanya ia ialah ruang menegak yang terhasil daripada celahan batu-batu besar menghala tepat ke Kaabah. Ruang di dalam gua itu pula hanya muat untuk seorang dewasa solat berdiri dan ada ruang di sebelahnya yang hanya boleh duduk ekoran di atasnya ada batu.

Di tempat solat itu diletakkan sejadah dan karpet bagi keselesaan pengunjung bersolat. Saya membayangkan di situlah Nabi SAW pernah solat dan berdoa manakala tempat duduk di sebelahnya lokasi Jibril membacakan wahyu pertama kepada baginda.

Saya solat dan berdoa semahunya di situ ekoran masih ramai rakan yang belum sampai. Saya pendaki kedua tiba. Ketika solat, kawasan sujudnya tidak rata dan timbul sebak apabila memikirkan keadaan Nabi pada 1,400 tahun lalu. Sudahlah perlu panjat gunung berbatu tanpa laluan, kena pula berada dalam gua sempit.

Selesai solat sunat, kami naik kembali ke dataran yang agak kecil tetapi rata untuk solat subuh berjemaah. Ketika itu tiada orang lain dan hanya kami.

Sepanjang perjalanan turun, barulah kami bersua dengan beberapa malim gunung Pakistan yang ingin naik bagi menghantar minuman dan stok makanan. Ketika itu, semakin ramai jemaah tiba dan kami bersyukur kerana dapat menyempurnakan hajat dalam suasana aman dan tidak bersesak.

Apa yang pasti, pendakian itu memberikan 1,001 pengalaman dan keinsafan di benak hati saya mengenai kecekalan Nabi SAW berulang-alik ke Gua Hira’ untuk ber’uzlah. Lebih mengharukan dan membuatkan saya menangis apabila mengenangkan isteri baginda, Saidatina Khadijah Al-Kubra juga memanjat gunung itu untuk menghantar makanan pada setiap malam hingga menerima kiriman ucapan salam daripada Allah SWT.

Arab jahil punca nabi daki Gua Hira’

Nabi Muhammad SAW memilih Gua Hira’ untuk beribadah adalah bagi mengasingkan diri kerana tidak suka dengan kehidupan jahiliah masyarakat Arab yang menyekutukan Allah secara terang-terangan.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci, Dr. Muhammad Najib Abdullah berkata, gua yang terletak di Jabal Nur itu merupakan tempat bersejarah kerana di situlah wahyu pertama diturunkan dari langit melalui perantaraan malaikat Jibril.

Katanya, Nabi berulang-alik dari rumahnya ke gua yang hanya boleh memuatkan dua orang itu selama berbulan-bulan. Di dalam gua itu terdapat satu lubang yang terus ke Kaabah dan ia dijadikan panduan oleh Nabi untuk solat.

Ujar Muhammad Najib, Khadijah juga merupakan wanita pertama menerima salam daripada Allah kerana sering membawa makanan kepada baginda sebagai tanda sokongan kepada Rasulullah yang tekun beribadah.

“Satu hari, ketika Nabi sedang bertadabbur dengan Jibril, malaikat itu memberitahu baginda bahawa Khadijah datang dengan membawa makanan di tangannya lalu memaklumkan kepada Rasulullah bahawa Allah mengucapkan salam kepadanya,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Kosmo! yang sedang membuat liputan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji di Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×