ALOR SETAR: Titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkaitan sejarah negeri ini dan Pulau Pinang serta pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) baru-baru ini tidak seharusnya ditafsir sebagai menyebelahi pihak tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, ketika ini terdapat kecenderungan dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang membuat tafsiran kononnya titah baginda menyebelahi mereka.
Sedangkan katanya, titah Sultan Sallehuddin berpaksikan kepada sejarah, undang-undang serta Perlembagaan dengan baginda sentiasa memiliki ‘seni’ dalam bertitah selaku Sultan yang bijaksana.
“Seni itu dalam bahasa Inggeris dinyatakan sebagai ‘How to say no, by saying yes’. Dalam titah tersebut, baginda menyatakan bahawa kuasa yang dinikmati Kerajaan Persekutuan pada hari ini hasil pemberian negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PTTM) yang dimeterai pada Ogos 1957.
“Daripada situ, jelas hubungan negeri dan Persekutuan walau dalam apa cara sekalipun perlu diperkasakan. Perlu ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Sallehuddin Ahad lalu, baginda menzahirkan harapan agar isu berkaitan sejarah Kedah terutama pajakan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu, sebaliknya dibincangkan demi rakyat negeri ini.
Sultan Sallehuddin turut menegaskan, adalah sesuatu yang amat merugikan sekiranya projek KXP tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan fahaman politik. Baginda berpandangan hasrat itu dapat disegerakan jika kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama selain mengenepikan perasaan peribadi dalam mentadbir hal ehwal berkaitan pembangunan.
Sementara itu, Asmirul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak seharusnya sombong mentadbir negeri sehingga menampakkan Kedah seolah-olah tidak memerlukan bantuan Persekutuan. – UTUSAN










