Menang itu bonus buat PH di Kelantan

Menang itu bonus buat PH di Kelantan

PERDANA Menteri berucap dalam program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, kelmarin. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANTAN menjadi negeri pertama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN). Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob pada 14 Jun lalu sesudah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Ada media massa menyebut, Perikatan Nasional (PN) mampu menyapu bersih kesemua 45 kerusi DUN dengan mengekalkan 37 kerusi sedia ada dan merampas semua lapan kerusi dimenangi UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berdasarkan kemampuan PN menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen dalam PRU15.

PKR Kelantan diketuai Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) bersikap realistik dengan peluang kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu. Sejak 20 Februari lagi, beliau menyebut, tumpuan PH dan BN di Kelantan lebih kepada untuk menjadi pembangkang yang kuat, bukan menggantikan kerajaan sedia ada.

Selalu ditegaskan oleh Nik Nazmi sama ada secara terbuka kepada media atau secara tertutup dalam mesyuarat pimpinan, kewujudan pembangkang yang kuat selepas PRU15 amat perlu bagi memastikan tugas semak dan imbang ke atas pentadbiran kerajaan negeri Kelantan melalui perbahasan lebih mendalam dalam DUN dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Ini bukanlah bermakna beliau menyerah kalah sebelum bertarung. Hasrat penyokong untuk mencipta upset itu memang ada dan tidak boleh diketepikan tetapi selaku seorang pemimpin mempunyai daya intelektual tinggi, beliau sering membuat keputusan berdasarkan data yang ada dan tidak membuat pengumuman muluk untuk sekadar menyedapkan hati.

Dalam PRU14 umpamanya, PH bertanding di 43 kerusi di Kelantan. Di lapan kerusi, PH menunjukkan prestasi agak baik, iaitu di Tanjong Mas, Kota Lama, Bunut Payong, Pengkalan Pasir, Salor, Pasir Tumboh, Demit dan Guchil, Namun di 35 kerusi lain, prestasi PH masih tidak boleh dibanggakan dengan kehilangan deposit.

Walaupun begitu, perlu diingat, suasana dalam PRU15 berbeza daripada PRN. Dalam PRU15, isu utama mendapat perhatian rakyat ialah isu negara, soal siapa akan menjadi kerajaan di Putrajaya. Dalam PRN pula, isu utama mendapat perhatian rakyat ialah isu lokal, soal pentadbiran negeri dan daerah.

Dalam PRU15, siapa calon Perdana Menteri dan dengan siapa sesebuah parti akan bergabung untuk membentuk kerajaan di Putrajaya mempengaruhi pengundi. Kini, soal tersebut telah selesai. Kerajaan perpaduan telah terbentuk dan dalam PRN, isu yang akan mendapat pertimbangan utama rakyat ialah keberkesanan sesebuah kerajaan negeri.

Tidak dinafikan dalam PRU15 terdapat sentimen agak kuat dalam kalangan pengundi Melayu Islam untuk memilih PN berdasarkan isu-isu perkauman dan keagamaan dimainkan dan kekuatan kewangan PN pada waktu itu. Kini isu-isu tersebut sudah tidak boleh dimainkan seefektif dalam PRU15 manakala dana PN juga sudah tiada.

TIDAK BOLEH DIKALAHKAN

Sewaktu PRU15 sekalipun, walaupun kedengarannya PN kuat sekali di Kelantan kerana mampu menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen tetapi penelitian lebih terperinci menunjukkan PN tidaklah invincible (tidak boleh dikalahkan) kerana setelah BN dan PH bergabung dalam satu pakatan politik, kekuatan kedua-duanya hampir seimbang dengan PN.

Jika dilihat kepada keputusan PRU15, gabungan BN dan PH berpeluang besar untuk memenangi kerusi DUN di bawah Parlimen Gua Musang kerana undi gabungan ini mengatasi undi PN sebanyak 4,354. Begitu juga di bawah Parlimen Machang dan Parlimen Kota Bharu di mana jurang kemenangan PN tidak besar, iaitu 6,220 dan 6,445.

Malah jika diimbau balik keputusan PRU14 dalam mana keadaan politik lebih normal, kemenangan Pas di 37 kerusi DUN tidaklah selamat. Ini kerana Pas/PN kalah di tujuh kerusi bila undi BN dan PH digabungkan.

Tujuh kerusi ini ialah Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, Kota Lama, Apam Putra, Melor, Semerak dan Guchil.

Ini adalah tambahan kepada lapan kerusi dimenangi BN dalam PRU14, iaitu Kok Lanas (Parlimen Ketereh), Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Bukit Bunga, Air Lanas dan Kuala Balah (Parlimen Jeli) serta Nenggiri, Paloh dan Galas (Parlimen Gua Musang) yang masih berpeluang untuk dimenangi kembali dalam PRU15.

Walaupun tiga bekas ahli Parlimen di Ketereh, Tanah Merah dan Jeli, iaitu Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak lagi berada dalam UMNO, kekuatan parti itu di situ tidak terjejas teruk. Malah masih ramai pengikut mereka yang kekal dan cawangan UMNO tidak terbubar.

Apa pun, pendekatan digunakan oleh Nik Nazmi adalah matang yang tidak menyerang keterlaluan pemimpin kerajaan negeri. Sebaliknya apa yang dibuat olehnya ialah menawarkan kerjasama untuk membangunkan Kelantan dan tidak mengetepikan rakyat walaupun terdapat perbezaan politik antara Putrajaya dan Kota Bharu.

Ini selaras pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang terzahir dalam ucapan beliau pada Majlis Amanat Khas Kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan, program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok dan Majlis Penyerahan Sumbangan bagi Projek Menyiapkan Masjid At-Taqwa Alor Pasir, kelmarin.

Jika rakyat Kelantan tertarik untuk memberi peluang kepada kerajaan perpaduan memerintah dengan janji-janji pembangunan manusiawi di bawah konsep Malaysia Madani, maka itu adalah satu bonus. Jika tidak, maka kewujudan pembangkang yang kuat sudah memadai. Ini juga penting bagi membolehkan suara rakyat Kelantan dapat dibawa ke Putrajaya.

Apa yang pasti, membiarkan kesemua 45 kerusi DUN disapu bersih tidak akan berlaku. – UTUSAN

DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×