Bangunan lama Pekan Papan tarik pelancong

Bangunan lama Pekan Papan tarik pelancong

SEKUMPULAN pelancong tertarik melihat keadaan bangunan lama yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Pekan Papan dekat Batu Gajah, Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Deretan bangunan kedai yang usang akibat dimamah usia, malah ada yang sudah ditumbuhi pokok menjadi tarikan pelancong ke Pekan Papan, di sini.

Pekan kecil itu wujud sejak lebih 100 tahun lalu ketika aktiviti perlombongan rancak dijalankan, namun ekoran kejatuhan industri bijih timah, ia semakin sepi sehingga diberi julukan pekan hantu, juga kerana kedudukannya yang terpencil.

Sehingga kini masih terdapat kira-kira 200 penduduk yang mendiami pekan tersebut dengan majoritinya masyarakat Cina.

Pekan Papan terletak di antara Ipoh dengan Batu Gajah dan antara tempat yang berdekatan dengan pekan ini adalah Menglembu, Pusing, Lahat serta Bukit Merah.

Namun atas usaha kerajaan negeri, suasana bangunan lama di pekan itu dijadikan tarikan pelancong dan menarik kedatangan pelancong termasuk dari luar negeri.

Seorang pemandu pelancong, Sunny Woo berkata, keunikan Pekan Papan membuatkan pelancong tertarik mengunjungi kawasan bersejarah itu.

Katanya, dalam tempoh seminggu, dua atau tiga kali dia membawa pelancong mengunjungi tempat itu.

“Pelancong cukup berminat kerana kampung ini sudah berusia lebih 100 tahun dan di Ipoh mungkin sudah tiada tempat sebegini. Itulah yang menarik perhatian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Sunny, pekan itu sudah dilawati pelancong dari pelbagai negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat dan Hong Kong.

“Kebanyakannya pelancong dari Singapura, Eropah dan yang ketiga Hong Kong, ini tiga kumpulan yang sering mengunjungi pekan ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, kebanyakan pelancong mengambil masa dua hari satu malam untuk bermalam dan melawat Ipoh tetapi kini ada yang bermalam sehingga empat hari untuk mengunjungi kawasan-kawasan destinasi pelancongan lain di sekitar bandar raya itu.

“Sebelum ini, mereka (pelancong) mengambil masa dua hari satu malam kerana menganggap Ipoh sebagai destinasi persinggahan dan untuk makan-makan sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke sebelah utara tetapi kini mereka sudah tahu banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di sini.

“Saya selalu tanya pelancong, mereka cakap sudah datang Malaysia banyak kali tetapi Kuala Lumpur. Jika mereka mahu ke Pulau Pinang, saya mahu tarik mereka dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebelum ke Pulau Pinang. Sekurang-kurangnya satu malam di Ipoh atau dari Pulau Pinang, Ipoh dan seterusnya ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sunny berkata, beliau berharap selain Ipoh menjadi destinasi pelancongan utama di negeri ini, bandar atau pekan lain juga menjadi destinasi pelancongan yang dapat menarik perhatian pelancong domestik mahupun antarabangsa.

“Saya percaya apabila pelancong bermalam di sini, ia bukan sahaja menjana ekonomi negeri dari segi penginapan, makanan dan sebagainya malah kita dapat mempromosikan kawasan -kawasan pelancongan yang kurang mendapat sambutan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×