Pembahagian empat kerusi PH-BN Kedah belum selesai

Pembahagian empat kerusi PH-BN Kedah belum selesai

kedah
MAHFUZ Omar (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf PPK Pokok Sena di Dewan PPK Pokok Sena, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rundingan untuk memuktamadkan pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah bakal berlangsung minggu depan setelah perbincangan melibatkan kebanyakan kawasan sudah diselesaikan ketika ini.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, setakat ini hanya terdapat tiga atau empat kerusi sahaja yang perlu dibincangkan dan perkara itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibincangkan antara kedua-dua pihak.

“Rundingan itu akan berjalan dalam tempoh seminggu akan datang. Cuma ada tiga atau empat kerusi saja yang masih perlu dibincangkan dan apabila sampai masanya nanti, kami akan umumkan kedudukannya.

“Bagi saya tiada masalah besar dalam perbincangan ini kerana kita ada titik persamaan iaitu mahu memastikan Kedah dipimpin kerajaan sama dengan Persekutuan. Apabila kita berpegang kepada slogan ‘Kalih Bagi Sama’ untuk membentuk kerajaan yang sealiran, maka mudahlah untuk kami berbincang dan berunding.

“Kalau ada sedikit bertentang itu biasa dalam rundingan. Nak berunding buat kenduri kahwin pun bertengkar, inikan pula berkaitan isu pilihan raya tetapi rundingannya tidaklah sulit kerana hubungan kami tetapi baik dan semalam pun saya berceramah dengan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kepada Golongan Asnaf Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, tindakan parti-parti dalam kedua-dua gabungan untuk menuntut kerusi lebih adalah sesuatu yang biasa kerana ia merupakan adat dalam perundingan dan perkara itu diyakini mampu untuk diselesaikan dengan baik.

“Dalam masa sama, kami bersetuju untuk tidak mengusik mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PH atau BN sebelum ini. Sebagai contoh, tiga kerusi dimenangi BN sebelum ini akan kekal milik mereka tanpa ‘dikacau’ PH dan begitu juga sebaliknya.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu pula, kerusi itu kekal milik Parti Amanah Negara (Amanah) walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika ini, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi sudah berada dalam PKR. Kita ambil kira situasi ketika berlakunya pilihan raya lalu di mana beliau menang kerusi itu selaku ahli Amanah,” katanya.

Dalam pada itu Mahfuz berkata, penyertaan tokoh-tokoh tertentu ke dalam Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini diyakini tidak akan menjejaskan gabungan PH serta BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Tokoh-tokoh itu pun rekodnya tak bersih dan boleh dipersoalkan. Saya tak rasa ada apa-apa yang boleh menjejaskan PH dan BN apabila mereka menyertai PN, yang masuk tokoh-tokoh besar ke sana itu sebabnya mereka yang sedia ada kecil-kecil. Di pihak kami, ramai tokoh besar termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×