MEMANDU Grab pada waktu malam berdepan dengan ujian yang berbeza berbanding waktu siang.
Saya kurang gemar untuk bekerja hingga ke malam hari. Sebab utama sudah pastilah dari segi keselamatan. Iyalah, pemandu perempuan ini risikonya macam-macam. Satu lagi saya elak sebab saya cepat mengantuk!
Salah seorang rakan pemandu yang saya ringkaskan namanya sebagai DH, memang gemar memandu pada malam hari. Katanya, kalau siang hari, dia tak tahan cuaca panas.
Maka berceritalah dia kepada saya, satu peristiwa yang terjadi sebelum pandemik Covid-19 melanda.
“Masa itu saya mendapat pesanan Grab di Sentul. Penumpang saya, wanita warga Filipina yang mahu ke satu tempat. Waktu itu sudah pukul 11 malam.
“Saya pun ikut pandu arah yang diberi. Yang peliknya destinasi saya sampai ke sebuah bangunan tinggal di Kajang.
“Saya tanya dia, betul ke tempat ini. Rupanya boyfriend dia salah beri alamat. Hendak ke Pantai Dalam sebenarnya.
“Terpaksalah saya drop off dan deal dengan dia secara offline. Nak keluar dari Kajang pula ada roadblock. Si penumpang ini rupanya datang ke Malaysia pakai pasport pelancong sudah dekat tiga bulan. Mujur lepas,” cerita DH.
Setibanya DH di Pantai Dalam di lokasi sebenar, seorang lelaki masuk. Mabuk rupanya. Patutlah beri alamat salah!
“Dalam kereta, pasangan ini bertengkar. Si perempuan marah-marah kata saya salah hantar. Saya diamkan saja. Ikut hati geram, hendak saja saya turunkan mereka tepi jalan. Biar balik jalan kaki.
“Sampai di Sentul, si perempuan turun sambil hempas pintu kereta sekuat-kuatnya. Fuh! Rasa terbakar juga dalam hati saya. Hendak saja saya jerkah.
“Nasib baiklah boyfriend dia yang mabuk itu minta maaf. Dalam pada mabuk itu, masih waras jugalah dia,” kata DH ketawa.
Paling seronok, untuk perjalanan malam itu, dia meraih RM90. Cuma yang paling sakit hati, rating bintangnya jatuh.
“Mesti perempuan itu bagi rate teruk sebab salah lokasi, walhal boyfriend mabuk dia yang beri salah alamat.
“Jenuh kerja keras nak naikkan rating semula lepas itu. Kalau tahu, memang saya turunkan saja dia di bangunan tinggal itu, biar kena cekik hantu,” kata DH dengan nada geram dan kami pun ketawa. – Mingguan Malaysia.










