Apa kelainan PAU kali ini?

Apa kelainan PAU kali ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI bekas Naib Presiden, saya menerima banyak pertanyaan daripada kepimpinan akar umbi bertanya tentang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berakhir hari ini.

Antara pertanyaan ditimbulkan, mengapa PAU diadakan dalam keadaan tergesa-gesa? Mengapa tidak seperti kebiasaan, iaitu di hujung tahun? Apakah ada sesuatu tersangat penting?

Adakah perhimpunan ini bersangkut-paut dengan pilihan raya negeri (PRN) yang mungkin diadakan pada penghujung Julai atau awal Ogos? Apakah kepimpinan parti mahu mengikat kepimpinan bahagian dan cawangan supaya menerima apa sahaja peruntukan kerusi ditentukan oleh rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan?

Tiada jawapan jelas boleh saya sampaikan melainkan hanya menyatakan, tunggulah semasa persidangan nanti. Selain itu, saya turut menyatakan kepada mereka, apa yang dipersoalkan itu turut mengetuk daya fikir saya.

Memang benar apa yang ditimbulkan. Selama ini PAU berlangsung penghujung tahun. Bila diadakan secara tergesa-gesa pada pertengahan tahun, tentulah ada sesuatu yang penting mahu dibangkitkan.

Mungkin PRN melibatkan enam negeri dalam masa terdekat menjadi perkara pokok. Pernah terjadi PRN di Melaka dan Johor tetapi tidak didahului dengan PAU.

Apakah PAU perlu dibuat kerana di lima negeri kecuali Negeri Sembilan, UMNO langsung tidak memenangi sebarang kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? Oleh itu, suatu perhimpunan perlu diadakan, di mana Presiden dan Timbalan Presiden mahu membentang garis panduan kepada pendukung parti. Tentulah ia tidak melibatkan taktik dan strategi kerana Presiden sering menyatakan, strategi tidak boleh didedahkan kerana pendedahan sudah tidak lagi menjadi strategi.

Begitu juga Timbalan Presiden semasa persiapan menghadapi PRU15, begitu yakin UMNO boleh menang besar lebih 112 kerusi dan membentuk kerajaan bersendirian. Bila ditimbulkan, juga berlindung di sebalik rahsia dan strategi parti. Akhirnya, keputusan begitu teruk dalam sejarah PRU dihadapi UMNO.

Tentulah PAU dijadikan medan bagi mengekang rasa amarah dan tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan bahagian sekiranya UMNO diberikan jumlah kerusi yang sangat sedikit, tidak munasabah, yang boleh ditafsirkan UMNO dibuli. Sekiranya terjadi begitu dan dalam pengetahuan kepemimpinan, apakah melalui PAU ini mahu mengasak para perwakilan untuk belajar menelannya? Ahli-ahli mesti menerima apa sahaja yang ditentukan oleh ‘abang besar’ kerana kini UMNO bukan lagi ‘abang besar.’

DAP

Sekiranya UMNO tidak mendapat jumlah kerusi mencukupi dan munasabah, maka tidaklah tercapai tujuan UMNO untuk bersama Pakatan Harapan (PH) seperti keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum menyertai PH membentuk kerajaan perpaduan. Kononnya, kalau bersama Perikatan Nasional (PN), UMNO akan berebut kerusi dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mungkinkah kepimpinan cuba meyakinkan perwakilan bahawa UMNO-BN akan mengutip laba semasa PRN di kesemua enam negeri? UMNO-BN akan pasti dapat menambah jumlah kerusi melalui PRN kali ini, maka ahli UMNO mestilah membantu calon-calon dari parti rakan termasuk DAP.

Naratif yang mahu dijaja kepada pengundi UMNO, DAP bukan bertanding menggunakan lambang DAP, sebaliknya PH. Jadi, dia bukan calon DAP tapi calon PH. Oleh itu, kemenangan calon itu nanti bukanlah kemenangan DAP, sebaliknya PH. Mutakhir ini, sudah kedengaran seruan daripada ahli MKT terhadap ahli UMNO untuk membantu calon DAP.

Bila kepimpinan tertinggi memanjangkan seruan ahli MKT tersebut semasa PAU, tentulah dengan harapan idea itu diterima oleh ahli. Barangkali itulah salah satu tujuan PAU diadakan bukan pada musim kebiasaannya. Mampukah kepemimpinan parti meyakinkan ahli yang benar-benar di bawah termasuk simpatetik?

Soalnya, apakah PAU ini benar-benar menjadi tempat merangka hala tuju parti? Maka itu, segala keputusan diambil semasa PAU menjadi dasar parti. Keputusan yang perlu dijunjung, didukung, dipatuhi, dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh kepemimpinan dan ahli. Kepimpinan UMNO tidak boleh membelakangkan keputusan PAU. Begitulah sepatutnya.

Ramai kepemimpinan di peringkat bahagian bertanya persoalan di atas. Mereka merasakan sesuatu yang tidak kena bila kepemimpinan membelakangkan keputusan PAU dalam soal kerjasama dengan parti-parti lain. Parti-parti yang secara tegas diisytiharkan penolakan oleh Presiden dan diputuskan oleh PAU. Akhirnya, keputusan dibuat semasa PAU dilanggar malah dikesampingkan.

Benarlah seperti mana yang menggelisahkan mereka tentang peranan PAU ini. Bagi mereka, sekiranya keputusan PAU boleh dilanggar, maka PAU hanya satu pesta parti di hujung tahun, tidak punyai nilai. Hanya suatu pertemuan mata dalam pesta bagi menyemarakkan silaturahim antara ahli.

APOLOGETIK

Ramai dalam kalangan ahli menunggu-nunggu PAU kali ini. Apakah situasi dan kondisi dilalui sebelum ini masih dikekalkan? Terjadikah perubahan selepas Dewan Merdeka digunakan untuk Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini? Persoalan ini bermain di bibir para ahli kerana terdapat perkara di luar jangkaan terjadi semasa konvensyen tersebut di mana tempikan serta laungan reformasi bergema semasa Presiden PKR memasuki dewan tersebut. Apa maknanya laungan tersebut?

Adakah bagi menjaga hati mereka, pembahas perlu mengunci keinginan untuk menyuarakan kepentingan Melayu? Ucapan panas serta pedas semasa PAU lampau perlu ditukar menjadi lembut selembutnya? Atau menjadi apologetik seperti mana terjadi semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan?

Pujian sewajarnya diberikan kepada Ketua Pemuda UMNO yang tidak menjemput wakil Pemuda DAP, PKR dan lain-lain atas tujuan menyelesaikan permasalahan dalaman parti. Malah beliau mengesa DAP meminta maaf di atas kesilapan lampau yang mencemuh pemimpin dan parti dalam bahasa kasar lagi kesat.

Adalah tidak munasabah terdapat kepemimpinan UMNO pula seperti mempertahankan DAP bila menuntut supaya tidak membangkitkan tuntutan tersebut. Sepatutnya semua ahli UMNO di pelbagai peringkat bersatu mempertahankan tuntutan dibuat demi maruah parti, bukan bersikap sebaliknya.

Semasa PAU terdahulu, semangat para perwakilan dan pemerhati disepuh dengan laungan ‘Hidup UMNO! Hidup Melayu! Allahu Akbar!’ Apakah laungan itu masih terjadi atau menjadi layu, tidak bermaya atau ditiadakan, demi menjaga rakan-rakan DAP terutamanya?

Mungkinkah para perwakilan dihidangkan pula dengan laungan ‘Reformasi!’ kali ini oleh ahli atau pembahas? Itu bukanlah suatu perkara mustahil kerana Presiden UMNO sendiri pernah melaungkan slogan tersebut. Mana tahu, dalam ingin menarik perhatian Presiden, para perwakilan atau ahli melaungkan perkataan reformasi, yang suatu ketika dahulu begitu alergi kepada ahli UMNO. Mungkin selepas Presiden melaungkan perkataan tersebut, maka kini menjadi perkataan digemari dan ikutan ahli?

Bagaimana amanat Presiden kepada ahli tentang kerjasama menghadapi PRN nanti? Tentulah Presiden membentangkan kelebihan serta laba daripada kerjasama ini. Terserah kepada ahli untuk mentafsir, menghadam serta bertindak selepas itu. Tepuk dada, tanya keyakinan. Daya fikir perlu digunakan. – UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×