MENERIMA jemputan daripada Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Sweden (SIDA), iaitu agensi kerajaan Sweden ke Forum Internet Stockholm 2023 (SIF23) tidak pernah saya bayangkan. Bertempat di Münchenbryggeriet, Stockholm, SIF23 bertemakan Peranan Internet dan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) semasa Krisis, Konflik dan Bencana memberi peluang berharga kepada saya untuk belajar banyak perkara baharu daripada mereka yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.
Menerusi forum itu, saya memperoleh satu pengajaran penting bahawa kita harus belajar untuk tidak mengulangi kesalahan sama seperti yang telah dilakukan oleh pihak lain. Salah satunya adalah menyediakan kemudahan yang kita rasakan penting tetapi hakikatnya tidak diperlukan dan akhirnya memudaratkan keadaan kerana disalahgunakan oleh pihak lain.
Selain saya, delegasi Malaysia diketuai oleh Encik Taufik dari Wikimedia turut dianggotai Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Puan Linah Bagu dan Cikgu Amri dari Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, Sabah. Kami mendarat di Lapangan Terbang Stockholm Arlanda kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan dan terus dibawa ke hotel bersama-sama para peserta dari negara-negara lain.
Sweden amat menitikberatkan hak kerahsiaan peribadi, maka kami tidak dibenarkan bergambar sesuka hati sepanjang forum berlangsung. Malahan, gambar hanya boleh diambil di tempat tertentu dan tidak dibenarkan mengambil gambar orang lain tanpa izin mereka. Positifnya, para peserta forum boleh lebih fokus tanpa gangguan daripada aksi peserta yang sibuk bergambar di sekeliling kita.
Menjejakkan kaki di Stockholm membawa makna besar buat diri saya. Selain menjadi pengalaman pertama berada di luar negara bersendirian tanpa ditemani keluarga, bumi Stockholm turut menggamit kenangan terhadap datuk kesayangan saya. Arwah datuk sering bercerita tentang keindahan kota raya ini yang merupakan salah satu tempat sangat disenanginya semasa masih hidup. Dan tanpa disangka-sangka, saya kini berada di Stockholm.
Acara pertama kami ialah pertemuan bersama Duta Besar Malaysia di Sweden, Hafizah Abdullah. Kami berbincang tentang pelbagai perkara termasuk budaya masyarakat di sana. Dan kami diperkenalkan dengan tradisi penting masyarakat Sweden, iaitu fika. Fika merupakan satu amalan penting orang Sweden di mana mereka akan mengambil waktu untuk berehat sejenak dan bersosial sambil menikmati makanan ringan terutama manisan bersama kopi dan teh.
Antara hidangan paling popular ialah kanelbullar yang menjadi kegemaran saya, chokladbollar, pelbagai biskut yang lazat contohnya drömmar, juga pelbagai jenis kek, tart dan manisan lain.
Syarat penting bagi fika ialah ia mesti dinikmati secara beramai-ramai. Maka jika dilakukan bersendirian, itu bukan fika namanya. Tiada waktu khusus untuk fika, boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja.
Amalan ini masih kekal diamalkan sehingga hari ini, termasuk di pejabat-pejabat. Malah, ia juga tidak mempunyai sebarang had dari segi berapa kali kita boleh berfika dalam sehari. Namun, secara lazimnya, amalan berfika dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam sehari.
HALAL
Bagi rakyat Sweden, amalan fika penting untuk mengeratkan silaturahim serta merapatkan hubungan sesama sahabat handai, keluarga, teman di tempat kerja dan sebagainya. Lebih penting lagi, ia juga dapat menghilangkan jurang hierarki kerana semua lapisan masyarakat akan meluangkan masa yang bermakna untuk bermesra. Fika juga salah satu cara untuk meraikan tetamu.
Kami berfika kali kedua ketika melawat pejabat Wikimedia Sweden. Seterusnya kami berfika lagi bersama Encik Biyanto. Kemudian berjumpa kawan saya dari Sweden, Axel dan beliau turut menjemput untuk berfika. Saya sudah kekenyangan dan cuma mampu minum secawan teh berempah.
Di Stockholm, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal, cuma yang siap dimasak sangat mahal harganya berbanding di negara kita. Masyarakat Sweden juga amat memahami keperluan menghidangkan makanan halal ketika meraikan tetamu beragama Islam. Malah sepanjang SIF23, SIDA mendapatkan kerjasama masjid di Stockholm untuk memastikan makanan dihidangkan kepada tetamu beragama Islam adalah halal.
Petang itu, Axel yang merupakan peminat setia pasukan Hammarby membawa saya menyaksikan perlawanan bola sepak di antara pasukan Hammarby dan Värnamo di Stadium Tele2 Arena terletak berhampiran hotel kami. Seumur hidup, ini kali pertama saya berpeluang menonton perlawanan bola sepak di stadium.
Kehadiran di forum ini melahirkan keinsafan dalam diri kami tentang betapa beruntungnya rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan aman dan tidak dikongkong. Kita bebas mengakses maklumat di alam maya dan mempunyai capaian internet yang jauh lebih baik berbanding di banyak tempat lain termasuk Eropah.
Pada hari keempat, kami berpeluang melawat Istana Kungliga Slottet dan beberapa tempat lain sebelum menaiki penerbangan ke London pada malamnya . Di London, kami melawat tempat-tempat yang terkenal sebelum pulang ke tanah air.
Benar kata datuk, Stockholm sangat cantik dan bersih berbanding London, dan penduduknya sangat ramah, baik hati dan berbudi bahasa. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










