Ucapan dasar Zahid melegakan kerisauan

Ucapan dasar Zahid melegakan kerisauan

TERANG-TERANG di hadapan Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi mahu ada wakil UMNO dalam ketiga-tiga kerajaan negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM bermula Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. PAU 2023 bersejarah kerana menyaksikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah 25 tahun terpisah dari UMNO. Kehadiran Anwar signifikan kerana ia adalah satu endorsement (sokongan) ke atas peranan dan perjuangan UMNO dalam kerajaan perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar yang melegakan hati banyak pihak. Ada lima sebab mengapa ucapan dasar Ahmad Zahid melegakan kerisauan ahli dan penyokong UMNO serta pendukung kerajaan perpaduan.

Pertama, dalam ucapan dasarnya, beliau membawa faktor sejarah bagi menjustifikasikan penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan. Ini dibuat dengan membandingkannya dengan penubuhan Barisan Nasional (BN) pasca 13 Mei 1969 yang melihat UMNO bergabung dengan parti lawan yang agak keras pendiriannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Parti lawan tersebut waktu itu menguasai pemerintahan Pulau Pinang dan hampir dapat memerintah Perak dalam pilihan raya umum (PRU) 11 Mei 1969. UMNO waktu itu melakukan penyesuaian politik yang tidak mencairkan soal keindukan Islam serta tidak menggadaikan maruah dan agenda Melayu bumiputera.

Perjuangan nasionalis dan kedudukan Islam tidak tergugat dengan penubuhan BN, sebaliknya parti lawan yang agak keras pendiriannya pula menjadi kendur. Beliau berulang kali memberi jaminan perkara sama sepanjang liku-liku penyesuaian politik yang telah dilalui UMNO termasuk kali ini.

Beliau tegas menyatakan, prasyarat UMNO dalam menjalin mana-mana kerjasama politik ialah asas serta keindukan negara bangsa terus dipelihara dan terbela. Dan ini terbukti ada dalam butiran perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang ditandatangani oleh lima gabungan politik pada 16 Disember 2022.

Kedua, Ahmad Zahid memberi fakta, perkara pokok atau asas melibatkan soal Islam, Melayu dan bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik UMNO. Ini disertai ingatan beliau kepada sahabat-sahabat UMNO dalam kerajaan perpaduan, jangan diusik hati dan perasaan orang Melayu selain ingatan kepada ahli sendiri.

Tegasnya, UMNO bukan political chameleons (mengkarung politik) dan akan tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga berikrar bersama-sama wakil UMNO di dalam kerajaan tidak akan mengkhianati amanah dan akan memastikan agenda membangunkan umat Melayu terus diperkukuhkan lagi. Malah, ada seruan kepada seluruh rakan dalam UMNO supaya mereka jangan berasa apologetik apabila menyuarakan soal-soal keindukan Islam, Melayu dan bumiputera.

Ketiga, Ahmad Zahid jelas mengenai peranan besar yang perlu dimainkan oleh UMNO di dalam kerajaan, iaitu menjadi pelindung dan benteng kepada asas-asas keindukan bernegara.

Selainnya ialah menjamin kerjasama politik yang dijalin adalah atas kepentingan negara dan rakyat di samping menentukan kestabilan negara tidak akan diganggu-gugat.

Seterusnya ialah memastikan UMNO dan BN kekal menjadi rakan strategik politik dan kedudukannya mestilah mencerminkan representasi sebenar keberadaannya.

KALIMAH ALLAH

Dari sudut agama, dinukilkan kesimpulan Allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadhil bahawa apa yang diperlukan orang bukan Islam adalah perkongsian kuasa setimpal dengan kekuatan mereka.

Ada bukti diberi bahawa usaha memperkasa dan menerapkan nilai-nilai Islam tetap menjadi agenda UMNO di dalam kerajaan hari ini termasuk melalui Dasar Tahfiz Negara.

Dalam isu kalimah Allah, beliau berkata, betapa wakil UMNO di dalam Kabinet dengan tegas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.

Keempat, ucapan dasar Ahmad Zahid juga menggariskan misi jelas UMNO dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Misi utamanya ialah mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Tidak dilupakan ialah berusaha meningkatkan keberadaan UMNO dan BN dalam pembentukan pentadbiran negeri bagi mencerminkan kebersamaan kerajaan perpaduan.

Terang-terang di hadapan Anwar, Ahmad Zahid meminta Anwar jangan lupa, UMNO mahu wakil UMNO dalam ketiga-tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ini ialah satu penegasan yang berani oleh Ahmad Zahid yang pastinya akan menceriakan ahli dan penyokong UMNO dalam menghadapi PRN di ketiga-tiga negeri tersebut.

Kelima, ucapan dasar Ahmad Zahid juga adalah bukti UMNO bukan sekadar ‘pak turut’ dalam kerajaan perpaduan, malah UMNO berani mengemukakan cadangan bagi membela nasib rakyat. Antaranya penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), pelan Felda 5.0 serta penerusan tren berkelajuan tinggi (HSR), pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Pan Borneo.

Tidak dilupakan ialah supaya pengagihan ekonomi dan kekayaan negara dapat dikongsi dengan masyarakat desa serta kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga bergerak ke hadapan dengan menyeru UMNO supaya memiliki progressive nature dengan benar-benar melestarikan pembangunan negara dan rakyat.

Penyesuaian yang mengambil pertimbangan masa hadapan ini dibuat dengan mengambil kira evolusi politik dunia yang menyaksikan lebih 70 negara membentuk kerajaan pelbagai parti.

Oleh itu, dari sudut praktikal dan falsafahnya, penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan sekali gus memadamkan polemik politik telah diberikan asas yang amat kuat.

Kepada pendukung kerajaan perpaduan pula, ada sedikit kerisauan bila muncul ura-ura kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak kini tidak selesa dengan kerajaan perpaduan. Ucapan dasar Ahmad Zahid ini melalui penegasan video anak Najib yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd. Nizar mematikan ura-ura ini. Tegasnya, ucapan dasar Ahmad Zahid ini sangat bererti sekali, ia seolah-olah Panadol yang melegakan bukan sahaja ahli dan penyokong UMNO tetapi juga pendukung kerajaan perpaduan. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×