KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri digesa melaksanakan segera kelas al-Quran di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negeri ini.
Gesaan tersebut disuarakan sebahagian besar ibu bapa yang berharap anak-anak mereka dapat menyertai kelas tersebut sama seperti Tabika Kemas di lokasi lain.
Seorang kakitangan swasta, Nur Adilah Osman, 36, berkata, kelas al-Quran itu patut diwujudkan segera untuk membimbing anak-anak di Tabika Kemas dengan kitab suci berkenaan.
“Memang kita di rumah ada juga ajar, namun pendidikan formal yang diterima di Tabika Kemas bersama kawan-kawan lebih memudahkan pemahaman anak-anak.
“Saya difahamkan, kelas al Quran ini sudah ada di lokasi lain namun belum ada di Tabika anak saya kerana tiada peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Difahamkan terdapat 859 kelas Tabika Kemas di seluruh Terengganu dan 700 daripadanya telah melaksanakan kelas al Quran di bawah Program Skim Mus’ab Bin Umair.
Baki 159 kelas itu, 39 buah adalah Tabika Kemas di Marang, Setiu (31 kelas), Dungun (30 kelas), Kemaman (30 kelas), Besut (26 kelas) dan Hulu Terengganu (tiga kelas).
Seorang kakitangan awam, Halina Ayesha Abdul Hamid, 33, pula berkata, program tersebut sangat bagus kerana memberi penekanan kepada bacaan dan hafalan al-Quran yang sempurna untuk kanak-kanak di Tabika itu.
“Sepupu saya di Dungun cerita anaknya sudah boleh hafal beberapa surah lazim dan ayat-ayat tertentu dengan mengikut tajwid yang betul hasil pelaksanaan kelas al-Quran ini.
“Sayangnya, di Tabika anak saya belum dilaksanakan. Tak tahu apa puncanya tetapi kami dimaklumkan tiada peruntukan daripada kerajaan negeri.
“Ibu bapa sangat berharap kerajaan negeri dapat mewujudkan segera kelas pengajian al-Quran di semua Tabika yang belum melaksanakannya demi manfaat dan kebaikan semua pihak. Apa salahnya melabur sedikit untuk pendidikan agama anak-anak ini,” katanya. – UTUSAN











