SETIAP kali berada dalam bulan Zulkaedah, umat Islam di seluruh dunia mula bercakap soal menyembelih haiwan korban. Menyembelih haiwan korban adalah sunat muakkad, iaitu amat digalakkan kepada umat Islam.
Ia adalah salah satu ibadah agung sebagaimana dilakukan Nabi Ibrahim a.s kepada anaknya, Nabi Ismail a.s sebagai memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban.
Korban bermaksud dekat atau mendekatkan. Dalam ilmu fiqh, ia dikenali udhhiyah yang secara harfiyah bererti haiwan sembelihan.
Antara dalil mengenai ibadat korban adalah firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” (al-Kauthar: 2)
Antara hadis berkaitan amalan korban adalah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat al-Tirmizi)
Di negara kita memang ramai umat Islam mengambil bahagian dalam korban. Ada berkorban seekor lembu atau kambing dan ramai juga mengambil satu atau beberapa bahagian lembu untuk korban.
Perintah berkorban sudah ada dalam sejarah hidup manusia pertama kali, iaitu ketika Allah memerintahkan putera Nabi Adam a.s, Qabil dan Habil untuk mengorbankan harta terbaik mereka.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil), menurut yang sebenarnya. Ketika kedua-duanya mempersembahkan korban, maka terima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia (Qabil) berkata: Aku pasti membunuhmu! Dia (Habil) menjawab: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (al-Maidah: 27)
Asas utama kepada ibadat ini adalah ikhlas. Sebab itu, afdal untuk kita mencari haiwan terbaik, iaitu yang gemuk, tidak ada cacat atau aib untuk dijadikan haiwan korban. Qabil yang bekerja di ladang menyerahkan hasil pertaniannya sedangkan Habil sebagai penternak menyerahkan haiwan hasil ternaknya.
Habil menyediakan korban terbaiknya, iaitu kambing paling elok dan gemuk sedangkan Qabil hanya memberikan hasil pertanian yang buruk.
Qabil menyediakan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban dilakukan atas dasar hasad dengki. Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah.
Ini adalah isyarat yang mesti menjadi panduan dalam kita melaksanakan ibadat korban. Kita melakukan korban kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, haiwan ternakan yang dipilih mestilah cukup syarat.
SYUKUR
Pensyariatan ibadat korban ke atas umat Islam juga sebagai tanda syukur terhadap rezeki Allah dengan menyembelih binatang ternakan. Oleh demikian, Islam meletakkan syarat dan ciri-ciri bagi haiwan yang harus untuk dijadikan sembelihan dalam ibadat korban.
Haiwan yang ingin dijadikan sembelihan korban mestilah dalam kategori ternakan jinak atau boleh dikeluarkan zakat. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Thalibin, “Haiwan yang disembelih itu mestilah daripada haiwan ternakan, iaitu unta, lembu dan kambing sama ada jantan atau betina dan semua ini telah disepakati.”
Hari ini, kos bagi menyertai satu bahagian korban lembu adalah antara RM800 ke RM900 untuk saiz sederhana. Daging bersihnya sekitar 60 ke 80 kilogram. Harga korban bagi seekor kambing pula antara RM800 ke RM1,200.
Bagi yang ada lebihan rezeki, bolehlah melakukan korban seekor lembu yang purata harganya sekitar RM5,000. Jika lembu sado, ia mencecah RM8,000 ke atas.
Kebanyakan kita yang makan gaji perlu berkorban untuk menabung agar dapat turut serta dalam ibadat ini. Jika gagal, kita hanya jadi penonton semasa pelaksanaan ibadat korban. Amat malang jika ini berlaku.
Kadang-kadang kita malu dengan warga asing yang bekerja sebagai atendan pam dan kategori buruh turut sama mencari lembu korban untuk komuniti mereka. Adakalanya lembu mereka beli jauh lebih mahal daripada RM5,000 yang biasanya menjadi pilihan di masjid dan surau kita.
Sebab itu, ibu bapa perlu mendidik anak-anak sejak kecil supaya mereka didedahkan dengan ibadat ini. Selain menceritakan falsafah pensyariatannya, beri kefahaman akan pentingnya turut sama melakukan ibadat korban.
Buat permulaan, ibu bapa boleh galak anak-anak menabung untuk sama-masa menyertainya terutama bagi yang sudah masuk alam pekerjaan. Berapa pun jumlah yang mampu mereka sumbang, kita terima sahaja. Biarlah RM50, lama-kelamaan akan meningkat sehinggalah mencapai satu bahagian dan insya-Allah, seekor lembu atau kambing.
Menyembelih haiwan korban sama ada kambing, lembu atau unta hanya boleh dilakukan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehingga akhir hari Tasyrik. Oleh itu, penyembelihan hanya boleh dibuat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Menyembelih sebelum solat Hari Raya Aidiladha menyebabkan korban tidak sah dan hanya jadi sembelihan biasa.
Menyembelih seekor haiwan korban tanpa berkongsi adalah lebih afdal. Haiwan yang gemuk lebih afdal daripada selainnya kerana Nabi SAW menyembelih haiwan korban yang gemuk.
Dari segi keutamaan, jumhur ulama berpendapat, unta adalah paling afdal kerana besar saiznya dan banyak dagingnya. Kemudian daripada unta ialah lembu, biri-biri dan kambing. Tetapi jika kambing lebih besar daripada biri-biri, maka ia lebih afdal.
Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ berkata, “Dan unta lebih afdal daripada lembu kerana ia lebih banyak daging. Dan lembu lebih afdal daripada kambing kerana ia bersamaan tujuh ekor kambing. Dan seekor kambing lebih afdal daripada tujuh bahagian unta atau lembu kerana ia bersedirian menyembelih satu nyawa dan kambing besar lebih afdal daripada kambing kecil.” – UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










