Bukan hanya beretorik pendemokrasian pendidikan

Bukan hanya beretorik pendemokrasian pendidikan

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) beramah mesra dengan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika melawat tapak pameran universiti itu sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023, baru-baru ini. – FACEBOOK/DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN melalui cara hibrid dan jadual anjal seperti diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Jun lalu akan merealisasikan falsafah pendidikan sepanjang hayat dan pendemokrasian pendidikan di negara ini. Hal-hal teknikal seperti capaian internet pelajar walaupun penting untuk diuruskan tetapi perkara pokok kenegaraan adalah memberi akses pendidikan kepada seluruh rakyat.

Sesetengah pengkritik dengan cepat melihat dasar baharu ini sebagai usaha yang tidak akan berjaya kerana capaian internet dan kemudahan komputer riba serta kos pembelian data internet masih tinggi di negara ini.

Jika setiap dasar kita hanya melihat dari perspektif negatif, banyak perkara baharu tidak dapat dilaksanakan sedangkan di negara ini ada pelbagai latar belakang anak muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebahagian anak muda tidak mahu memasuki universiti terlalu awal yang selalunya jauh dari tempat kediaman asal mereka selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana sebab-sebab tertentu seperti ingin menumpukan kepada pekerjaan atau menjaga ibu bapa.

Jika peluang yang anjal tidak diberikan kepada golongan ini, ia akan menyekat akses mereka untuk menikmati pengajian peringkat tinggi.

Sebahagian anak muda lebih cenderung untuk bekerja dahulu dan menyambung pengajian kemudian. Walhal, salah satu petunjuk kepada sesebuah negara maju ialah peratusan tinggi rakyat berpendidikan tinggi.

Melalui sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal yang akan diperkenalkan pada sesi akademik 2023/2024 ini, pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di universiti pada tahun pertama dan akhir.

Bagi tahun pertengahan pengajian, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas. Ini tentunya menjimatkan ruang sekali gus menjimatkan kos pengajian kerana antaranya boleh mengurangkan yuran asrama.

Program hibrid dan pembelajaran fleksibel (hyflex) pada asalnya berdasarkan pengajian dua tahun di universiti dan dua tahun di rumah (2U2H) atau tiga tahun di universiti dan satu tahun di rumah (3U1H) atau kombinasi lain yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. Sistem hyflex mencakupi program berteraskan sains dan teknologi, pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal (TVET) serta sains sosial.

ANJAL

Hampir semua universiti awam sudah bersiap sedia untuk melaksanakan program ini yang tentunya akan memberi lebih banyak pilihan untuk anak-anak muda melanjutkan pendidikan mereka di peringkat lebih tinggi.

Di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai contoh, akan mula menawarkan tiga program perintis untuk pembelajaran secara anjal dan hibrid mulai sesi akademik Oktober ini, iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Sarjana Muda Pengurusan Awam (Kepujian) dan Sarjana Muda Pengurusan Acara (Kepujian).

Satu lagi kaedah untuk memenuhi kehendak pendemokrasian pendidikan yang juga akan diperkenalkan oleh universiti termasuk UUM adalah program pengajian peringkat sarjana muda dan pascasiswazah secara terbuka dan jarak jauh (ODL) mulai tahun depan.

ODL merupakan pembelajaran atau kelas yang dilaksanakan secara dalam talian. UUM mengikuti semua syarat ditetapkan sebelum mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menawarkan lima program sarjana muda dan 13 program pascasiswazah secara ODL. Sebelum ini, universiti memperkenalkan program pengajian jarak jauh (PJJ) di mana kelas pembelajaran masih diadakan secara bersemuka, biasanya pada hujung minggu.

Kaedah ODL ini lebih anjal kerana pelajar boleh mengikuti kelas sama ada menerusi komputer atau telefon pintar. Jika ada kelas secara bersemuka, syaratnya tidak melebihi 20 peratus.

Lima program sarjana muda yang ditawarkan UUM secara ODL mulai Oktober 2024 ialah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pengurusan Awam, Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam serta Sarjana Muda Komunikasi.

Di samping itu, 13 program pascasiswazah yang akan ditawarkan secara ODL mulai September 2024 ialah Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa), Sarjana Ekonomi, Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan), Sarjana Sains (Data Analitik), Sarjana Kewartawanan Multimedia, Sarjana Sains (Teknologi Maklumat), Sarjana Sains (Pengurusan), Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, Sarjana Sastera Linguistik Terapan, Sarjana Undang-Undang Komersial, Sarjana Sains (Koreksional), Sarjana Politik Antarabangsa dan Sarjana Pengurusan Awam.

WARGA KOTA

Sesungguhnya, melalui sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal serta ODL akan membolehkan setiap rakyat yang berminat menyambung pengajian di peringkat tinggi boleh melakukannya pada bila-bila masa sesuai. Malah, Mohamed Khaled ketika menjadi Menteri Pengajian Tinggi pada 2011 seperti dilaporkan akhbar tempatan pernah berkata,”…proses pendemokrasian pendidikan dalam negara adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengupayakan masyarakat supaya mereka tidak tercicir dalam menyertai proses pembangunan dan kemajuan negara.”

Ini bermakna Menteri Pendidikan Tinggi sekarang melaksanakan hasrat yang dikehendaki negara, bukan hanya bercakap dan beretorik pendemokrasian pendidikan, bahkan menunjuk jalan sepatutnya dimainkan oleh semua institusi pendidikan.

Dalam tempoh Covid-19, pembelajaran banyak berlaku secara dalam talian sekalipun rata-rata tidak digemari oleh kebanyakan pensyarah kerana sudah terlalu biasa dengan cara pengajaran bersemuka. Tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tidak boleh berkumpul beramai-ramai mencetuskan idea untuk kementerian melaksanakan cara pembelajaran lebih anjal.

Dalam masa beberapa tahun ke hadapan, dijangka lebih banyak program ditawarkan secara dalam talian yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal. Besar kemungkinan program ini akan menjadi alternatif utama kepada program pengajian secara konvensional.

Jika dahulu ramai keberatan untuk datang belajar di universiti yang jauh dari tempat kediaman asal, tetapi dengan cara pembelajaran dalam talian akan membolehkan seseorang belajar di hadapan telefon pintar.

Sebahagian masalah promosi untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan warga kota khususnya di peringkat pascasiswazah untuk belajar di universiti yang tidak berada di Lembah Klang sudah dapat diatasi melalui cara pembelajaran secara dalam talian.

Justeru, universiti kini perlu berlumba-lumba meningkatkan kualiti kurikulum program pengajian dan mencipta keunikan program mereka yang akan menjadi daya tarikan warga dunia. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Foad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini