KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya memberikan bantuan secara bersasar dengan melihat situasi sebenar setiap golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 kerana setiap golongan itu berdepan masalah berbeza.
Pendekatan itu termasuk mengenal pasti setiap impak terhadap semua sektor seperti pelancongan, perkilangan dan sektor-sektor perniagaan kecil dan sederhana.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, urusan agihan akan lebih berkesan jika bantuan diberikan mengikut kesesuaian dan keperluan mereka yang terkesan terutama apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dan proklamasi darurat dikuatkuasakan.
“Sepatutnya perlu ada langkah daripada kerajaan dalam menyasarkan jenis pakej bantuan dan sokongan yang diberikan kerana impak sosioekonomi semua pihak tidak sama.
“Kesan penutupan hotel-hotel tidak sama dengan kesan penutupan gerai-gerai kecil. Malangnya, kerajaan tidak menyasarkan secara terperinci dan efektif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Rafidah berkata, sejak pandemik Covid-19 berkembang di negara ini pada awal tahun lalu, kerajaan sepatutnya sudah mempunyai jawatankuasa khas yang berperanan dalam mencegah jangkitan berkenaan.
Namun, katanya, kecenderungan kerajaan yang dilihat mengutamakan hal ehwal politik berbanding krisis kesihatan menyebabkan ‘strategi porak-peranda’ terhasil dan dilaksanakan.
“Pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 sepatutnya sudah terbentuk sebelum gelombang pertama dan kedua Covid-19 bermula.
“Memang kita sudah menanganinya tetapi sasaran tidak tepat dan sudah terlambat. Apa yang kita beri hanya wang tetapi tidak nampak impaknya. Projek sana projek sini ada tetapi tidak pun membantu rakyat.
“Negara lain mereka pandai rancang sebab mereka buat secara serentak dan teratur. Dia tahu Covid-19 sudah datang dan bersedia menghadapinya,” katanya.
Pada kemuncak pengisytiharan darurat bermula 12 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membentuk Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan hanya dibentuk pada 9 Februari lalu yang dianggotai 19 ahli terdiri daripada pakar kesihatan, bekas kakitangan kerajaan, pengamal undang-undang dan beberapa ahli politik dan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Ditanya sama ada negara ketinggalan berbanding negara lain dalam usaha menangani impak Covid-19, kata Rafidah: “Tidak, cuma naluri kecemasan itu tiada sejak awal lagi. Kita cuma cemas dari segi penyakit bukannya langkah-langkah pencegahan.” – UTUSAN











