Tunjukkan bukti P.Pinang dipajak Kedah

Tunjukkan bukti P.Pinang dipajak Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRI 1

SEJARAH tidak pernah menipu tetapi manusia yang menipu sejarah. Begitulah naratif sejarah Pulau Pinang yang telah dikeliru lagi mengelirukan. Naratif sejarah Pulau Pinang sering menjadi polemik dalam kalangan ahli akademik dan ahli politik malah masih terdapat pihak yang mendakwa negeri ini hanyalah tanah pajakan milik Kedah sehingga sekarang.

SEBELUM KEDATANGAN SHTI
Berdasarkan fakta sejarah, wilayah pemerintahan Kesultanan Kedah meliputi utara Semenanjung dari Perlis sehingga selatan di Seberang Perai termasuk Pulau Ka Satu yang sekarang dikenali Pulau Pinang. Menurut kajian Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, sebelum kedatangan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Pulau Pinang mempunyai ribuan penduduk Melayu dan pendakwah Islam malah pelabuhan tersohor di Batu Uban.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang ulama dari Sumatera, Haji Mohammad Salleh atau Nakhoda Nan Intan membuka penempatan di Batu Uban dan membina sebuah masjid pada 1734, iaitu 52 tahun sebelum Light menjejak kakinya di Pulau Pinang. Masjid berkenaan masih kukuh dan kekal sehingga hari ini.

Sebelum 1824, kepulauan di Sumatera adalah sebahagian kepulauan Melayu dan rakyatnya sering berulang alik ke Semenanjung. Pada masa itu, masih belum wujud Malaya dan Indonesia. Rakyat di kepulauan Melayu ini bertutur dalam bahasa hampir sama, mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan, hubungan perdagangan dan menjalankan aktiviti dakwah Islamiah.

Fakta ini membuktikan cerita kononnya Pulau Pinang dibuka oleh Light pada 1786 dan pulau ini hampir tiada penghuni adalah satu cerita dongeng ciptaan Inggeris.

Satu daftar ukur tanah dan kawasan bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat dihuni sejak 1700-an berdasarkan penemuan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar.

Di Seberang Perai pula, dilaporkan tidak kurang 3,000 orang terdiri daripada petani dan nelayan serta orang asal dari keturunan Semang. Seberang Perai juga maju dan mempunyai kawasan industri pembuatan di Guar Kepah.

KEDATANGAN SHTI
SHTI mula menduduki Pulau Pinang dan mengibarkan Union Jack pada 11 Ogos 1786. Kedatangan SHTI adalah atas tawaran Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah yang meminta bantuan perlindungan ketenteraan. Ini kerana Kedah menghadapi ancaman Siam dan Bugis.

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, sebaik sahaja angkatan laut SHTI pimpinan Light menduduki Pulau Pinang, mereka terus membina kubu dikenali Fort Cornwalis, membuka pangkalan tentera dan pelabuhan perdagangan bebas, menukar nama bandar Tanjong Penaga kepada George Town iaitu bersempena Raja George III dan menamakan pulau itu sebagai Prince of Wales Island sempena nama Raja Muda Britian.

Light dengan licik memperdayakan Sultan Kedah dan SHTI membuat pakatan sulit dengan Siam untuk menawan Kedah supaya SHTI pula dapat ‘merampas’ Pulau Pinang.

Apabila Sultan Abdullah sedar telah ditipu, pada 1791 baginda menyiapkan angkatan laut di Seberang Perai untuk menyerang dan mengambil semula Pulau Pinang. Baginda meminta bantuan ketenteraan kepulauan Sumatera, iaitu Riau dan Siak selain Selangor.

Persiapan tentera Sultan Kedah itu telah dihidu oleh Light. Beliau meminta bantuan tentera British menyerang kubu Sultan Abdullah di Seberang Perai terlebih dahulu sebelum pasukan tentera Sultan Kedah sempat bertindak. Kedah kalah dalam serangan itu dan kali ini SHTI menduduki Seberang Perai pula dan menamakan tanah besar itu, Province of Wellesley.

Pada 1800, SHTI mengadakan perjanjian persahabatan dengan Kedah dan berjanji membayar 10,000 dolar Sepanyol setiap tahun kepada Sultan Kedah. Perjanjian persahabatan itu mempunyai syarat-syarat berat sebelah yang memihak kepada SHTI untuk menguasai Pulau Pinang, kawasan perairan dan Seberang Perai. Kedah diwakili Raja Muda Sultan Dziauddin manakala SHTI oleh George Leith menurunkan tandatangan masing-masing (Light meninggal dunia pada 1794).

PERJANJIAN 1786
Menurut Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican dalam satu kajiannya menyebut Sultan Abdullah dan Light sebenarnya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian atau surat pajakan berkaitan penyerahan Pulau Pinang kepada SHTI.

Beliau berkata, naratif mengenai ‘pajakan’ Pulau Pinang daripada Kedah perlu diperbetulkan kerana tiada bukti menunjukkan perjanjian mengenainya benar-benar berlaku pada 1786.

Ahmad Murad memetik catatan seorang sejarawan Inggeris, R. Bonney dalam bukunya Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence. Bonney menyatakan, kajiannya mendapati tidak wujud sebarang dokumen perjanjian antara Light dan Sultan Kedah pada 1786.

Katanya, surat-surat yang dipamerkan kepada orang ramai di muzium dan arkib Kedah itu bukanlah surat pajakan tetapi hanya cebisan surat-surat komunikasi antara Sultan Kedah dan Inggeris. Sehingga hari ini, dokumen Perjanjian 1786 itu tidak pernah ditemui dan tiada dalam simpanan mana-mana pihak pun. Oleh sebab itu, kesahihan perjanjian berkenaan adalah satu cerita yang diragui. Tanpa dokumen ini bermakna SHTI telah merampas Pulau Pinang secara tipu daya sahaja.

BAYARAN PAMPASAN
Asas menyatakan Pulau Pinang ialah tanah pajakan kerana Kerajaan Persekutuan masih membuat bayaran pampasan kepada Kedah sehingga hari ini. Kerajaan Persekutuan meneruskan pembayaran kerana ia termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Kerajaan Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan yang sama sebagaimana kena dibuat sebelum kemerdekaan negara di bawah Perkara II Triti pada 6 Mei 1869 antara baginda ratu pada satu pihak dengan Raja Siam pada satu pihak yang satu lagi berkenaan Kedah.

Kerajaan Persekutuan meneruskan bayaran khas sebanyak RM10,000 setahun kepada Kedah. Namun pada 2018, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan bayaran itu kepada RM10 juta setahun.

Kerajaan Persekutuan mungkin tidak mahu memadam sejarah asal usul pemilik Pulau Pinang tetapi dalam masa sama telah mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN

Penulis ialah Penolong Setiausaha Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×