Penulisan Tommy Thomas kurang tepat - Utusan Malaysia

Penulisan Tommy Thomas kurang tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BADAN Peguam Malaysia berpendapat bahawa penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam sebuah buku bertajuk bertajuk My Story: Justice in the Wilderness berkaitan ketidakmampuan sikap, komitmen dan dedikasi pegawai jabatan peguam negara tidak mewakili pandangan Badan Peguam Malaysia.

Sebaliknya, badan itu berpendapat adalah kurang tepat untuk melabelkan keseluruhan jentera tersebut sebagai tidak kompeten, tidak bersemangat maju dan berdaya saing berbanding peguam swasta.

Jika pun ingin mengkritik, ia sepatutnya dilakukan secara peribadi ketika beliau dalam perkhidmatan dan mengambil langkah membaiki kepincangan pada ketika itu dan setidaknya mengkritik dalam konteks yang membina setelah beliau bersara.

Walaupun diakui akan ada beberapa kelemahan dalam kalangan kakitangan dan pegawai, tetapi perkara itu adalah lumrah dalam setiap struktur organisasi sama ada dalam kalangan pegawai undang-undang dalam perkhidmatan kerajaan atau peguam swasta. Kita tidak boleh membuat rumusan umum yang mencerminkan dan mengaitkan sikap setiap pegawai dan peguam dalam organisasi tersebut.

Kami percaya ramai pegawai di Jabatan Peguam Negara mampu dan bersedia menerima teguran dan kritikan yang dibuat secara berhemah untuk membaiki diri supaya lebih maju.

Badan Peguam mempunyai hubungan profesional yang baik dengan pelbagai peringkat dan bahagian, selain mengamalkan sikap profesionalisme. Kami juga kerap menghadiri mesyuarat dan perjumpaan dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan tentang pembaharuan undang-undang dan peraturan termasuk membabitkan amalan guaman.

Kecenderungan, bantuan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam perkara pindaan Akta Profesion Guaman yang baharu oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara sangat baik dan dihargai.

Tahap kompetensi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara, khususnya Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Persekutuan dalam mengemudi sesuatu kes sangat membanggakan dan memperlihatkan tahap kebolehan yang baik dan cemerlang setaraf peguam peguam swasta.

Ramai juga pegawai-pegawai kanan dipilih menerajui pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, malah ada yang terpilih dilantik sebagai hakim. Di dalam bidang kehakiman juga terdapat ramai hakim yang sudah bersara dan terdapat juga yang kini berada di puncak strata kehakiman di Mahkamah Persekutuan. Mereka juga mampu menulis penghakiman yang bernas dan mempunyai pengetahuan undang-undang yang jitu setara yang hakim-hakim lain.

SALIM BASHIR
Presiden Badan Peguam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×