PETALING JAYA: Ribuan manuskrip alam Melayu berusia 400 tahun yang bernilai ratusan juta ringgit yang tersimpan di luar negara masih belum berjaya dibawa pulang ke Tanah Air dalam tempoh 10 tahun ini.
Ia tersimpan di institusi muzium, arkib, universiti dan pusat penyelidikan di serata dunia seperti di London, Rusia, Amerika Syarikat dan Jerman.
Antara manuskrip yang popular ialah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Syair Sultan Ahmad Tajuddin, Hikayat Muhammad Hanafiah, Hikayat Nabi Yusof, Tajul Salatin, Syair Silambari dan Surat Kiriman Kepada Perempuan.
KOS TINGGI
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria berkata, antara faktor manuskrip itu masih tersimpan di luar negara adalah kerana proses membawa pulangnya memerlukan kos yang sangat tinggi.
“Jika ingin membawa pulang khazanah ini ke negara kita, ia melibatkan banyak kos yang sangat tinggi dan memerlukan kemahiran profesional.
“Ia perlu dilihat dari semua aspek seperti kos pengurusan perundangan, pengurusan penghantaran pulang artifak dan memerlukan insuran bagi memastikan ia selamat sampai ke tanah air,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, manuskrip ini mempunyai nilai yang tinggi kerana harga sesebuah manuskrip dan artifak itu ditentukan mengikut ciri yang berlainan dengan harga barang yang berbeza.
PENJAJAH
Katanya, manuskrip alam Melayu kebanyakannya diambil dan disimpan di luar negara pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.
“Selain usia, bahan, pembuatan, sejarah, status dan kepentingan, kedudukan bahan atau artifak dalam masyarakatnya dan dunia turut mempengaruhi nilai sesebuah artifak.
Ros berkata, masih banyak manuskrip yang belum dikaji sama ada yang berada di luar negara mahupun dalam negara.
“Puluhan ribu manuskrip alam Melayu yang masih belum dikaji kerana tiada peruntukan yang jelas diberikan untuk penyelidikan manuskrip secara mendalam.
“Kekurangan pakar dan pelapis muda dalam semua bidang penyelidikan manuskrip seperti kodikologi, epigrafi, filologi, konservasi dan lain-lain juga menjadi antara sebab manuskrip-manuskrip ini belum dikaji,” katanya.
Dalam pada itu, Ros berkata, walaupun ia disimpan di luar negara, namun khazanah-khazanah ini disimpan dengan baik di sana.
Jelasnya, berdasarkan pendapat umum, pastinya semua menginginkan manuskrip itu dibawa pulang ke negara ini kerana ia dianggap sebagai satu simbol jati diri bangsa dan negara.
“Oleh itu, kerajaan perlu membulatkan nekad dan memperuntukkan bajet serta tenaga pakar dari pelbagai bidang seperti perundangan, jabatan warisan, ahli akademik dan lain-lain yang mampu menjadi penggerak kepada usaha ini secara serius.
“Pemilihan ahli yang betul juga penting bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa serta bagi memastikan khazanah yang dibawa balik dapat terus dijaga dengan baik seperti di luar negara dan dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ros berkata, isu ini juga boleh dibawa ke mahkamah antarabangsa bagi mengadakan perbincangan antara kerajaan kerana ia melibatkan perundangan isu pemilikan namun masih sukar untuk dibawa pulang ke negara ini. – UTUSAN










