KEBIJAKSANAAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berperanan sebagai payung negara terpacar jelas selepas menitahkan supaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan sehingga tamat penggal sebagai pesanan penting untuk mencapai kestabilan dalam negara.
Malah titah Seri Paduka itu dapat menamatkan kemelut politik dengan pertukaran empat Perdana Menteri sejak 2020 tidak lagi berlaku.
Ketegasan Seri Paduka sangat tepat dan menunjukkannya tahu apa yang diinginkan rakyat sekali gus menumpukan sepenuhnya kepada usaha membangkitkan semula ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
Seri Paduka turut memberi ingatan tersebut dalam sebuah pantun semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada 28 Feb 2022.
Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang,
Mesra berjiwa rakyat
Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat.
Al-Sultan Abdullah yang juga merupakan ketua agama di negara ini bersikap tegas dan tidak sesekali membenar agama Islam diporakperandakan di negara sendiri. Seri Paduka bertitah agar umat Islam terus mempertahankan institusi masjid daripada menjadi gelanggang politik mana-mana pihak. Namun dalam masa sama, Seri Paduka adil terhadap agama lain.
TIDAK BERPROTOKOL
Seri Paduka yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejak ditabalkan pada 31 Januari 2019 begitu disenangi rakyat. Seri Paduka kerap kali mencemar duli dengan sanggup turun padang melihat kehidupan rakyat jelata sambil dilihat berbual secara bersahaja.
Perwatakan Seri Paduka yang lebih selesa tidak berprotokol itu diwarisi oleh ayahanda Al-Marhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.
Lihat sahajalah sikap Seri Paduka yang mesra dan boleh bergurau dengan rakyat jelata seperti video-video yang tular, antaranya apabila Seri Paduka menepuk dahi menunjukkan ‘rasa tertipu’ selepas memberikan sampul duit dan turut menyuruh seorang lelaki memotong serta menukar warna rambut sedangkan dia hanya memakai topi.
MELAKAR SEJARAH
Kehadiran Seri Paduka mencemar duli menghadiri Istiadat Pertabalan Diraja United Kingdom (UK), Raja Charles III dan Permaisuri Camilla pada 6 Mei lalu melakar sejarah baharu apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mencemar duli menghadiri istiadat itu. Sebelum ini tiada raja di Malaysia yang menghadiri istiadat pertabalan sejak 7O tahun lalu iaitu ketika Ratu Elizabeth II dinobatkan sebagai ketua negara UK pada tanggal 2 Jun 1953.
Lebih menarik perhatian, busana persalinan dipakai Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah merupakan antara lima pakaian yang mendapat pujian media antarabangsa. Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda Tunku.
DAULAT TUANKU!-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











