KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar tidak menggunakan naratif kolot dan jumud apabila menyerang kerajaan perpaduan.
Anwar menegaskan, perkiraan itu tidak betul kerana yang penting bukan soal jumlah majoriti tetapi dasar.
“Di mana yang dasar yang kita tinggalkan Islam? Di mana yang kita khianat orang Melayu ni? Yang kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek di mana?
“Ini penting kita nilai, jangan gunakan naratif kolot dan jumud yang lalu, bahasa, budaya, Islam, seni, sastera yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis di Muzium Kesenian Islam, di sini, semalam.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi Yayasan AlBukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengarah Muzium Kesenian Islam Malaysia, Syed Mohamad Albukhary.
Dalam laporan media, Abdul Hadi sebelum ini menyifatkan Pakatan Harapan (PH) tidak sesuai jadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan itu dikuasai parti bukan Islam
Katanya, kerajaan hari ini lemah kerana tidak diterajui parti Melayu Islam untuk memimpin Malaysia yang majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.
Sementara itu, Anwar berkata, hak bukan Islam itu bagaimanapun tetap perlu dipelihara meskipun kerajaan mengangkat penghayatan Islam.
Katanya, ini kerana semua sedia maklum negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
“Jadi saya tidak cenderung untuk rakyat dipesongkan dengan sentimen ini, yang dia (Abdul Hadi) tidak dijawab kenapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas hentikan rompakan.
“Saya tahu ada kalangan pembesar, tokoh-tokoh lama, itu dia kata ‘buat apa nak korek yang lama-lama’, bukan saya korek, harta rakyat mesti dipulangkan.
“Kalau tengok naratif yang lama-lama dan naratif itu….di kalangan orang yang ada kes kalau ikut… kalau teliti betul-betul dia takut dia disiasat. Kamu sudah ambil… pulangkan balik, itu saja yang saya perlukan,” ujarnya.
Jelas beliau, banyak kejayaan sudah dicapai kerajaan perpaduan pimpinannya sejak menang Pilihan Raya Umum Ke-15. – UTUSAN











