Kejatuhan nilai ringgit hanya sementara, tidak wajar dipolitikkan - Utusan Malaysia

Kejatuhan nilai ringgit hanya sementara, tidak wajar dipolitikkan

SIKAP wakil rakyat Pas menggunakan penyusutan nilai ringgit untuk memperoleh skor politik adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI sekarang yang bercakap mengenai penyusutan nilai ringgit seolah-olah ia satu perkara baharu sedangkan ia telah berlaku sejak pemerintahan sebelum ini lagi.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Bachok dari Pas, Syahir Sulaiman, yang dilaporkan berkata, Malaysia memerlukan seorang Menteri Kewangan yang bertugas sepenuh masa dan boleh memberi tumpuan untuk mengubah penyusutan nilai ringgit ini.

Dakwa beliau, Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di Kementerian Kewangan sedangkan katanya peranan dan penumpuan seorang Menteri Kewangan adalah amat penting dalam tempoh kritikal ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak bertanggungjawab untuk sesiapa menggunakan penyusutan nilai ringgit untuk memperoleh skor politik kerana umum tahu ia berlaku disebabkan faktor luaran.

Syahir sendiri mengakui penyusutan ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua mata wang, termasuklah ringgit.

Masa sama, beliau masih mahu berspekulasi dengan mendakwa “mungkin ada faktor dalaman yang menyebabkan ringgit menjadi lemah” tanpa memberikan apa-apa dalil bagi mewajar dan membuktikan dakwaan tersebut.

Begitu juga dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, yang secara sinis mengingatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar jangan menunggu sehingga rakyat berkata ‘Rafizi turun, ringgit naik’. Sikap mahu menuding jari kepada pemimpin kerajaan bila berlaku penyusutan nilai ringgit ini sudah lama bersarang dalam minda pemimpin pembangkang.

Pada 13 Ogos 2015 dahulu, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, juga membuat cadangan yang sama bagi mengatasi masalah tukaran ringgit yang telah mencecah nilai terendah pada waktu itu.

Chin Tong menyebut walaupun terdapat faktor-faktor global lain yang menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah punca masalah dan perlu berundur daripada menjadi Perdana Menteri untuk menyelamatkan ekonomi.

Sebagai pilihan lain, Chin Tong juga menyebut kalau Najib tidak dapat disingkirkan, seorang Menteri Kewangan yang baharu dan kompeten serta benar-benar ‘bijak’ dalam memahami makroekonomi dan permasalahan-permasalahannya perlu dilantik segera.

Tetapi lihatlah selepas itu, bila Najib sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, penyusutan nilai ringgit masih terus berlaku tanpa mengira siapa dan dari parti mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tersebut datang.

Oleh itu, kita perlu bersikap rasional dan tidak menggunakan penyusutan nilai ringgit sebagai isu politik untuk menjatuhkan mana-mana pihak, apa lagi pemimpin Pas yang kononnya mengamalkan pendekatan politik matang dan sejahtera.

INFLASI

Sejak suku ketiga 2022 lagi, ringgit telah dijangka akan terus jatuh disebabkan prestasi dolar AS yang terus mengukuh, tetapi kejatuhan nilai ringgit ini bersifat sementara dan akan kembali melantun sebaik prestasi mata wang itu mula menyusut apabila Rizab Persekutuan (Fed) memperlahankan kenaikan kadar faedah.

Telah dijangkakan bahawa sehingga tiba waktu Fed memperlahankan kenaikan kadar faedah, mata wang tempatan dijangka kekal berada di bawah tekanan memandangkan minat belian terhadap dolar AS kekal terus mengukuh.

Telah berkali-kali dijelaskan oleh pakar-pakar ekonomi bahawa faktor di sebalik kelemahan ringgit adalah disebabkan keadaan tidak menentu pasaran luar dan bukan disebabkan kebimbangan terhadap prestasi ekonomi tempatan.

Penyusutan nilai ringgit pasti berlaku apabila wujudnya perkembangan global yang tidak menggalakkan kerana Malaysia mengamalkan ekonomi yang amat terbuka di mana apa juga yang dialami oleh rakan dagang utama negara ini akan turut memberi kesan kepadanya.

Tidak kira siapa yang menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan penyusutan nilai ringgit akan terus berlaku apabila wujudnya perkembangan global yang tidak menggalakkan ini, jadi ia bukan sesuatu yang ada kaitan dengan politik dalaman negara.

Bank Negara Malaysia telah menjelaskan masalah dalam pasaran kewangan global, termasuk had tertinggi hutang AS yang belum dapat diselesaikan serta episod tekanan sektor perbankan di negara itu dan Eropah, menjadi punca sentimen pasaran terjejas.

Hal ini telah menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS. Oleh itu, prestasi semasa ringgit tidak mencerminkan kedudukan ekonomi negara dan ia akan bertambah baik apabila ketidakpastian berhubung perkembangan pasaran global reda.

Penyusutan nilai ringgit juga perlu dilihat dari perspektif yang menyeluruh, kerana ia ada kesan positif dan ada kesan negatifnya. Apa yang penting ialah untuk kita sama-sama berusaha memaksimumkan kesan positif dan meminimumkan kesan negatifnya.

Berdasarkan data semasa, Malaysia mengeksport barangan dalam nilai yang lebih banyak daripada nilai barangan yang kita import, jadi dalam konteks ini kesan positifnya akan ada kerana mata wang asing yang masuk lebih banyak daripada yang keluar.

Selain menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing, penyusutan nilai ringgit akan membantu memacu ekonomi tempatan, termasuk pelancongan, kerana rakyat lebih terdorong menggunakan barang dan perkhidmatan keluaran Malaysia.

Masa sama, sedikit inflasi mungkin berlaku di mana harga beberapa barangan import boleh naik harga kerana import menjadi lebih mahal ekoran penyusutan nilai ringgit, tetapi ini tidak akan menyebabkan berlakunya hiperinflasi, terutama jika import berjaya dikurangkan.

Dasar yang diambil oleh kerajaan perpaduan sekarang untuk membina ekonomi yang lebih madani, melaksanakan pembaharuan struktur dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik adalah langkah yang betul ke arah pengukuhan nilai ringgit. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Rusdi Omar ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×